Monday, May 19, 2008

Dr Mahathir Keluar UMNO : Kenyataan Mahathir

Dipetik dari blog Dr Mahathir, www.chedet.com


Hari ini, Mei 19, 2008 saya mengumumkan keputusan saya untuk keluar daripada UMNO. Isteri saya turut bersama.

Keputusan ini dibuat kerana UMNO yang ada sekarang bukan lagi UMNO yang ditubuh 62 tahun dahulu yang berjuang untuk bangsa Melayu, Agama Islam dan Negara Malaysia (Malaya); UMNO yang menggagalkan Malayan Union, memperjuangkan kemerdekaan Malaya dan Malaysia dan membangunkan Malaysia sehingga menjadi Negara yang termaju di antara Negara membangun di dunia.

UMNO yang ada sekarang hanya wujud untuk menyokong Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, keluarganya dan tindakan serta dasar yang tidak secocok dengan kepentingan bangsa, agama dan negara.


Kepimpinan Dato Seri Abdullah jelas membawa kekalahan dan bencana kepada Barisan Nasional, UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan PPP. Kemenangan UMNO di Sabah dan BN di Sarawak bukan kerana kepimpinan Dato Seri Abdullah.

Saya akan jelas satu persatu dasar-dasar dan tindakan Dato Seri Abdullah yang menjadikan Kerajaan pimpinannya dan parti BN dibenci oleh ahli-ahli parti komponen sendiri.

Walaupun sebelum perisytiharan ini saya adalah ahli UMNO tetapi sebenarnya selepas saya letak jawatan sebagai Perdana Menteri saya tidak dilayan sebagai ahli UMNO.

Saya tidak dibenarkan berjumpa ahli UMNO dan ahli UMNO tidak dibenarkan hadir apa-apa perhimpunan di mana saya dijemput sebagai jurucakap atau penyampai ucapan.

Menteri-Menteri yang dahulu berada dalam Kabinet saya tidak dibenarkan atau tidak berani atau tidak mahu jumpa saya lagi.

Jemputan oleh UMNO dan bukan UMNO kepada saya diarah ditarik balik oleh Mneteri Besar dan Polis.

Ramai pemimpin UMNO melepaskan kata-kata kesat kepada saya dan ada yang menyuruh saya keluar daripada UMNO walaupun mereka baru sahaja masuk UMNO. Tidak ada pemimpin UMNO yang pertahankan saya secara terbuka.

Wakil ke Perhimpunan Agong tidak dibenarkan menyuara pendapat mereka. Mulut semua orang ditutup.

Yang didengar hanyalah media arus perdana yang memuji Dato Seri Abdullah sehingga dia percaya dia begitu popular dan akan sapu bersih parti lawan dalam pilihanraya umum ke-12.

Hasilnya ialah kekalahan yang teruk bagi Barisan Nasional. Malangnya mesej yang hendak disampaikan oleh pengundi dan penyokong BN tidak dapat difahami oleh Dato Seri Abdullah.

Dia masih berkata dia menang. Ini sukar diterima oleh orang Kedah, orang Pulau Pinang, orang Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Oleh kerana Dato Seri Abdullah buta mata dan pekak telinga dan tidak faham mesej ahli BN, oleh kerana ahli UMNO pun turut bersama, oleh kerana proses demokrasi tidak berjalan, oleh kerana UMNO yang ada sekarang bukan lagi UMNO yang ditubuhkan 62 tahun dahulu, saya berpendapat penyertaan saya sebagai ahli UMNO tidak bermakna dan tidak berguna lagi.

Justeru itu saya ingin umumkan bahawa saya sudah keluar daripada UMNO.

Saya ingin tegaskan bahawa saya bebas dan tidak menyokong mana-mana parti lawan.

Saya akan pohon untuk masuk UMNO apabila Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah berhenti daripada menjadi Presiden UMNO, Pengerusi BN dan Perdana Menteri Malaysia.

Dr Mahathir bin Mohamad (bekas ahli UMNO No 1)
Dr Siti Hasmah binti Mohd Ali (bekas ahli UMNO No 2)

Sunday, May 11, 2008

Berhentilah Memusuhi Tanpa Bukti

Artikel ini adalah tulisan Dr Asri bin Zainal Abidin, Mufti Perlis. Beliau memberi pandangan mengenai ISA dan isu perempuan murtad yg berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini. Sama-samalah kita membaca dengan hati yang terbuka..

Apabila kita membaca al-Quran dan al-Sunnah, kita dapati Maha Adil adilnya Allah s.w.t. yang tiada suatu pun untuk dibandingkan. Adapun, dunia ini kelihatan tidak adil adalah hasil kerja buat manusia yang memusnah sistem yang indah dan cantik yang telah diletakkan oleh Allah untuk kehidupan.

Sama seperti mana manusia memusnah ekosistem alam ini, manusia juga dalam banyak hal memusnahkan sistem keadilan dalam kehidupan sesama manusia. Seperti rosaknya alam; sungai, ozon, laut, bukit-bukau dan pelbagai lagi sehingga dunia ini rosak lalu memberi mudarat kepada kehidupan manusia, demikian juga manusia memusnah keadilan, kedamaian hidup, simpati dan rahmat yang akhirnya memusnah ketenteraman hidup sesama manusia. Lalu manusia bertanya: “Di manakah keadilan Tuhan?” Mereka lupa berkata: “Inilah hasil kezaliman kita”.

Allah Maha Adil Lagi Maha Bijaksana. Sekalipun Dia Maha Tahu tentang dosa-dosa manusia, tetapi di akhirat kelak manusia tetap akan dibicarakan di mahkamah agung Allah yang bertempat di Padang Mahsyar. Setiap manusia akan ditimbang dosa dan pahalanya sebelum dihukum.

Seperti firman Allah: (maksudnya) Maka Sesungguhnya Kami (Allah) akan menyoal umat-umat yang telah diutuskan (Rasul-rasul) kepada mereka, dan Sesungguhnya Kami akan menyoal juga rasul-rasul itu. Kemudian Sesungguhnya Kami akan ceritakan kepada mereka (para rasul dan umat mereka), dengan ilmu (berdasarkan pengetahuan yang meliputi akan apa yang mereka lakukan), dan sememangnya Kami (Allah) tidak sekali-kali ghaib (maksudnya sentiasa mengetahui akan hal ehwal mereka).

Dan timbangan amal pada hari itu adalah benar; maka sesiapa yang berat timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang berjaya. Dan sesiapa yang ringan timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, disebabkan mereka berlaku zalim terhadap ayat-ayat Kami (dengan meletakkannya pada bukan tempatnya). (Surah al-‘Araf ayat 6-9).

Jelas, Allah Maha Mengetahui segala perbuatan manusia, pun begitu diwujudkan sistem yang menunjukkan keadilan-Nya dengan ditimbang amalan manusia; baik dan buruk barulah dijatuhkan hukuman syurga atau neraka. Padahal jika Allah tidak membuat timbangan sekalipun, keputusan Allah tidak mungkin akan silap, kerana Dia Tuhan Yang Maha Mengetahui.

Ilmu Allah meliputi segalanya, namun demi menunjukkan keadilan, agar hamba-hamba-Nya tidak mempunyai sebarang alasan atau tidak puas hati apabila dihukum, diwujud sistem keadilan perbicaraan dan timbangan dosa. Firman Allah: (maksudnya) “Pada hari lidah, tangan serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan. Pada hari itu Allah akan menyempurnakan untuk mereka balasan (azab seksa) yang berhak mereka mendapatnya, dan mereka pula akan mengetahui bahawa Allah ialah Tuhan Yang Benar (Maha adil), lagi Nyata (keadilanNya)”. (Surah al-Nur: ayat 24-25).

Jika Allah tidak mewujudkan mahkamah perbicaraan di Hari Kiamat, adakah sesiapa yang boleh membantah Allah? Adakah sesiapa yang boleh menyatakan Allah tersilap dalam hukuman-Nya? Adakah sesiapa boleh menggugat kuasa Allah, seperti manusia menggugat kuasa pemerintah di dunia menerusi pemberontakan atau pilihan raya? Sama sekali tidak! Maha Suci Allah, tiada siapa yang dapat mencabar kebesaran kerajaan-Nya. Pun begitu diwujudkan sistem perbicaraan yang maha adil di mahkamah-Nya. Jika demikianlah Allah, apakah boleh di dunia ini manusia dihukum tanpa dibicara secara adil dan saksama?

Apakah wajar mana-mana peruntukan akta yang membenarkan seseorang dihukum dengan suatu hukuman tanpa diberi peluang membela diri? Mungkin seseorang boleh dikurung untuk sementara waktu siasatan, tetapi keadilan menyatakan dia wajib dibicarakan sebelum dihukum agar dia memahami apakah dosanya.

Jika manusia dihukum tanpa diberi peluang membela diri, maka jadilah macam peristiwa pembunuhan di Kuala Perlis baru-baru ini. Apabila mangsa dituduh mengintip seorang gadis, lalu diheret keluar dari rumahnya, dipukul beramai-ramai sehingga mati. Isterinya yang masih dalam pantang juga dipukul. Khabarnya, kemudian mereka sedar bahawa mereka tersilap orang. Mangsa telah mati, dihukum tanpa dia mengetahui apakah dosanya. Jika pun itu dosanya, apakah berhak dia dibunuh? Justeru, agama memusuhi perbuatan menghukum manusia tanpa bukti yang sah dan perbicaraan yang benar. Maka perbuatan seperti ini adalah amat terkutuk.

Jika ada peruntukan undang-undang atau akta yang membolehkan manusia dihukum tanpa dibicara, maka ia adalah akta atau perundangan yang jelek. Sabda Nabi s.a.w “Bukti wajib (diberikan) oleh yang mendakwa, dan sumpah pula bagi yang membantah” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

Justeru, jika ada akta dan undang-undang yang seperti ini, maka Majlis Fatwa patutlah bersidang dan membincangkan pandangan Islam mengenainya; secara adil tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Itulah peranan fatwa yang berkongsi dengan keperluan rakyat. Jika tidak, kita akan terpinggir dari arus masyarakat yang mahu kejujuran dan ketulusan dalam pandangan agama.

Dalam dunia terbuka pula, manusia akan dihukum disebabkan tuduhan yang tidak berasaskan bukti. Seseorang akan ditohmah, atau ditempelkan label yang buruk hanya kerana tuduhan tanpa perbicaraan atau alasan. Mungkin tidak dipenjara atau dibunuh, tetapi akan dihukum dalam masyarakat terbuka atas tuduhan yang dibuat oleh orang lain kepadanya.

Mungkin ada yang akan pandang sinis, atau menolaknya, atau mempertikaikannya. Kadang-kala kesan hukuman masyarakat itu lebih perit dari sebatan atau penjara. Dalam dunia Internet, ramai yang menjadi mangsa tuduhan tanpa bukti atau ruang membela diri. Dalam politik juga demikian. Pelbagai label akan dilekatkan. Dalam dunia agama pun lebih kurang sama, bahkan kadang kala ‘lebih kuat syaitan berperanan menghasut’.

Sejak dahulu, jika ada pihak yang cuba membuat pembaharuan dalam memajukan pemikiran golongan agama dan umat Islam, pelbagai tohmahan dilontarkan. Mereka dituduh ‘kaum muda’. Maka menjadi mangsa ketika itu Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Muhammad Tahir Jalaludin, Burhanudin al-Helmi, Za‘ba, Mustafa ‘Abdul Rahman dan lain-lain lagi. Sehingga tokoh besar seperti Buya Hamka dari Indonesia dilarang masuk ke Johor atas tuduhan yang sama. Hanya kerana ada kelompok yang hasad dan ingin menjaga kepentingan diri.

Hari ini jika anda berbicara tentang keterbukaan pemikiran, keluasan menerima pendapat, kembali kepada nas-nas Islam yang asal maka anda sekali lagi akan dituduh kaum muda, atau Wahabi atau liberal. Walaupun anda tidak tahu apa itu Wahabi atau liberal dan apa itu kaum muda. Tuduhan itu tidak memerlukan bukti atau alasan, cukuplah untuk dijadikan tuduhan kerana hanya pendapat anda berbeza. Tuduhan tanpa bukti atau peluang pembelaan diri adalah kezaliman. Ia selalu dilakukan oleh pihak yang mempunyai kepentingan.

Maka agama ini memusuhi tuduhan kosong tanpa alasan yang berteraskan dalil dan bukti yang ilmiah. Firman Allah: (maksudnya) Wahai orang-orang yang beriman! janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) boleh jadi puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) boleh jadi puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. (Surah al-Hujurat ayat 11).

Perangai suka menuduh secara rambang adalah lambang manusia kehabisan alasan. Saya dukacita apabila ada pihak menuduh keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang dan peguambela Ustaz Ahmad Jailani Abdul Ghani adalah menggalakkan orang murtad. Bahkan ada yang melempar tuduhan lebih berat kepada beliau kononnya membela untuk orang menjadi murtad.

Jika pembaca masih ingat, tahun lepas semasa awal-awal saya menulis di ruangan ini, saya menulis “Murtad: Antara Emosi dan Realiti”. Antaranya saya menyebut: “Di samping sesuatu yang perlu kita tahu bahawa seseorang itu menjadi murtad apabila dia melanggar batasan akidah Islam secara sedar, faham dan tidak dipaksa. Sama ada perlanggaran itu dalam bentuk perkataan, atau perbuatan, atau keyakinan.

Apabila perlanggaran itu dilakukan seperti menghina Allah dan Rasul-Nya, atau mengisytiharkan diri keluar atau ingin keluar dari Islam maka dia menjadi murtad. Kemurtadan ini tetap berlaku sama ada disahkan atau tidak oleh mana-mana pihak. Penyataan agama dalam kad pengenalan bukanlah penentu sebenar hakikat akidah. Ia hanya untuk urusan kemasyarakatan atau pentadbiran.

Ini bererti sekiranya kita berjaya menahan seribu orang yang mengisytihar diri keluar dari Islam agar tidak dapat menukar agama kad pengenalannya, kita sebenarnya menyimpan seribu orang murtad yang akan bertopeng dalam masyarakat muslim. Apa jadi, jika kad pengenalan itu dijadikan ukuran oleh beberapa pihak lalu berkahwinlah golongan murtad ini dengan orang-orang Islam yang sebenar?

Mereka juga mungkin menguasai institusi-institusi agama atas kebijaksanaan dalam bidang tertentu, sedangkan mereka murtad. Akhirnya kita menyimpan barah yang amat merbahaya dalam tubuh umat. Maka sekadar pertahankan perubahan agama pada kad pengenalan semata, bukan satu kejayaan. Bahkan mungkin menjadi musibah jika berleluasa. Kejayaan yang sebenar adalah mengembalikan mereka kepangkuan Islam secara reda dan menghilangkan kekeliruan mereka mengenai agama ini”.

Maka, keputusan mahkamah tersebut dan tindakan peguam bela berkenaan sebenarnya berusaha membuang barah dari umat Islam. Tanyalah akal yang matang; adakah seseorang murtad kerana ada ruang murtad di mahkamah? Atau seseorang menjadi murtad kerana hilang keyakinan terhadap Islam yang dianuti? Sudah pastilah jawapannya kerana hilang keyakinan terhadap Islam yang dianuti.

Jika demikian jawapannya, ubat kepada penyakit ini apakah dengan cara menghalang penukaran kad pengenalannya sedangkan dia hilang keyakinan terhadap Islam, atau meningkatkan dakwah dan kesedaran penerangan yang matang kepadanya? Tentulah dengan dakwah dan penerangan yang matang. Maka orang murtad bukan kerana keputusan mahkamah, tetapi kerana dakwah yang lebih, sedangkan peruntukan melimpah.

Juga boleh melunakkan hati golongan mualaf yang sudah menganut Islam dan keluarga mereka yang belum menganut Islam menerusi wang zakat. Mana perginya wang zakat yang ratusan juta dikutip saban tahun? Janganlah kita sempitkan konsep mualaf setakat yang baru menganut Islam sahaja. Luaskan kejumudan kita kepada nas-nas Islam yang lebih luas.

Mualaf itu bukan sekadar mereka yang baru menganut Islam seperti tafsiran singkat sesetengah pihak. Bahkan ia merangkumi mereka yang belum menganut Islam dan diharapkan dengan pemberian zakat menjinakkan hati mereka kepada Islam. Janganlah ketika mualaf hidup susah bersama keluarganya kita tinggalkan, apabila meninggal kita merebut pula mayatnya. Masa hidup kita biar, masa mati kita tuntut, apakah itu keindahan Islam?

Dahulu saya mencadangkan masjid Cina. Ada yang buat tuduhan rambang kononnya nanti habis al-Quran dalam masjid tersebut akan dibaca dalam bahasa Cina. Solat pun dalam bahasa Cina. Inilah orang kita, kuat menuduh bukan kuat berfikir. Sehingga ada yang mengaku penasihat agama pun lebih kurang sama. Apakah di masjid Melayu dan India al-Quran dibaca dalam bahasa Melayu dan India?

Tujuan masjid yang saya cadangkan adalah agar masyarakat Muslim Cina dapat berinteraksi sesama mereka. Mereka lebih memahami antara satu sama lain. Dengan itu banyak masalah dapat diselesaikan sesama mereka, kerana mereka mempunyai latar masalah yang berbeza dengan masyarakat Melayu yang kesemuanya dikatakan Islam.

Maka di masjid Cina, orang Cina lebih faham pengajiannya, lebih mudah berbicara dengan imam dan jawatan kuasanya dan seumpamanya. Maka kalau ada yang ingin keluar Islam atau nak masuk Islam, mereka boleh cari pendekatan terbaik sesama mereka. Mereka lebih faham. Tapi, ada yang membantah dan menuduh. Hari ini lihatlah betapa kita memerlukannya, tetapi kewujudan dihalang.

Eloklah kita berhenti memusuhi tanpa bukti dan faham, tetapi cuba gunakan neraca keadilan dan akal yang matang.

Friday, May 9, 2008

Si penderhaka yang mahu membela istana

Tiba-tiba negara digemparkan dengan teriakan para hulubalang. Masing-masing menghunus keris dan menjulang-julangnya ke udara. Rakyat menjadi gamam. Apa pula gerangan isunya hingga para hulubalang itu menjadi gempar dan mengamuk tidak tentu haluan.


Baru sebulan lalu, para hulubalang di negeri sebelah Timur berdemonstrasi di hadapan istana. Membuka langkah menghantar memorandum tidak berpuas hati dengan Majlis Pemangku Raja. Watikah bantahan dihantar mempersoalkan tindakan majlis melantik bendahara negeri yang tidak diperkenan parti para hulubalang.

Di masa yang sama, puluhan perajurit memegang kain pemidang bertulis "Kami mahu Deris binatang!", "Kami sokong Deris sebagai bendahara", "Kami tak mahu Md Said". Banyak lagi kain pemidang yang ditayangkan di hadapan istana. Semuanya berunsur menghina dan menderhakai istana.

Selepas menghantar memorandum bantahan, para hulubalang itu bergerak ke kediaman rasmi bendahara dan membuat pengumuman penting.

Antaranya, jurucakap hulubalang mahu calon yang dipersetujui Yang Dipertua parti hulubalang diangkat sebagai bendahara. Jika calon lain diangkat istana, maka para hulubalang akan memberontak dan paling kurang pun meletakkan jawatan.

Begitulah tekad hulubalang. Apabila dingatkan sang warta bahawa hasrat para hulubalang untuk meletakkan jawatan akan menyebabkan mereka kehilangan jawatan itu buat seumur hidup, maka jurucakap para hulubalang penderhaka itu pun dengan gugup gagapnya berkata: "Errr... kami akan mengkaji semula hasrat kami itu, kami acah-acah aja..."

Kesudahan ceriteranya, hasrat para hulubalang itu tidak kesampaian, dan calon yang dipilih Majlis Pemangku Raja terus kekal sebagai bendahara.

Di sebuah negeri di utara Semenanjung, gegak gempita pemilihan bendahara juga berlaku. Calon daripada parti hulubalang mengamuk sakan kerana jawatan yang sepatutnya dianugerahkan kepadanya diberikan kepada orang lain.

Maka hulubalang itupun menghunuskan kerisnya ke udara mahu Yang Dipertua parti hulubalang bertegas melantiknya ke jawatan itu.

Watikah perlantikan telah diterima dan istana tiada hak mengetepikan watikah daripada parti hulubalang, jelasnya kepada sekumpulan sang warta.

Maka gegak gempita lah seluruh negara. Yang pekak datang bertanya. Yang bisu ternganga-nganga. Yang cacat datang bertongkat. Yang lumpuh berkerusi roda. Yang jahil menggeleng tak tahu apa-apa.

Akhirnya calon istana dipilih jua dan si hulubalang terpaksa menumpang rumah abang kakak kerana hilang tempat berteduh, setelah rumah rasmi diambil alih bendahara baru.

Tiba-tiba para hulubalang berbuat bising lagi. Kali ini angkara seorang bai tua berkerusi roda yang didakwa menghina istana. Bai itu dianggap biadap dan tak tahu adat Melayu kerana mempersoalkan titah Raja.

Ada seorang Melayu DKK yang punyai ilmu undang-undang menyifatkan si bai boleh didakwa kerana menghasut. Ada seorang Hulubalang Melayu DKA menuduh si bai sebagai biadap dan mencabar kedaulatan sultan. Maka si bai dianggap sombong dan bongkak setelah menang dalam pemilihan umum lalu.

"Parti hulubalang tidak pernah mempertikaikan titah istana. Kalau kita tak setuju pada istana, kita pergi menghadap sultan dan beritahu secara berbahasa," kata hulubalang Melayu DKA kononnya.

Ramai pemimpin Melayu tulen parti hulubalang turut masuk campur. Ada yang sanggup mempertahankan istana dari kebiadapan si bai walaupun mereka tahu si bai hanyalah seorang tua yang lumpuh berkerusi roda.

Ada juga pemimpin pelajar penyokong parti hulubalang yang memberikan tarikh lupus kepada si bai untuk menarik balik kenyataannya. Jika tidak keris mereka akan bermandi darah.

Begitulah gegak gempitanya parti hulubalang "mempertahankan kedaulatan istana" yang konon-kononnya kini tidak selamat kerana dicabar si bai berkerusi roda.

Komen paling keras datangnya daripada mantan Yang Dipertua parti hulubalang. Hulubalang tua itu menakutkan rakyat tentang gambaran sebenar masa depan rakyat jika parti-parti sekutu si bai tua diberi mandat besar oleh rakyat untuk menerajui negara.

Ada cubaan untuk mengaitkan parti muslim, sekutu parti si bai dalam kancah isu penderhakaan itu.

Bagaimanapun dua pemimpin kanan parti muslim dilaporkan sang warta mengambil pendekatan berhati-hati dengan tidak memberikan sebarang ulasan berhubung isu itu.

Ialah. Sikap pemimpin parti muslim itu difahami kerana sang warta mahir dalam kepandaiannya memutarbelitkan kenyataan pemimpin parti lawan parti hulubalang.

Seorang pemimpin Melayu tulen pernah dianggap murtad dan menggadai agama kerana memakai sigah kaum kadazan yang berlambang salib. Hasilnya, parti pemimpin Melayu tulen itu kalah teruk dalam pemilihan umum.

Bagaimanapun kemajuan teknologi siber menjadikan rakyat benar-benar celik isu.

Dalam hingar bingar sang hulubalang menghunus keris dan menjulangnya ke udara kerana kononnya mahu membela istana; hamba rakyat tertanya-tanya.

Bagaimana mungkin hulubalang yang berpakat mengurangkan kuasa para sultan ketika mereka di puncak kuasa boleh dipercayai untuk membela istana?

Bagaimana mungkin perajurit-perajurit hulubalang yang menghina istana dan sultan dengan lafaz kata "binatang" boleh lebih dibela dan diberi muka berbanding seorang bai tua yang hanya mahukan penjelasan tentang batas kuasa istana?

Bagaimana mungkin penghulu hulubalang yang menghunus keris mahu mengamuk ke saentero negeri kerana tidak dipilih sebagai bendahara, tiba-tiba mahu mendabik dada sebagai pembela istana?

Bagaimana mungkin hulubalang yang membawa lari puteri raja untuk dinikahinya di seberang negeri, kemudian diceraikan sesuka hati, mampu memelihara maruah istana dan raja negeri?

Bagaimana mungkin parti penderhaka boleh menjadi pelindung institusi raja-raja?

Maka si pekak, si bisu, si lumpuh dan si jahil yang pada mulanya geram menatap Utusan Warta, mencampak akhbar itu jauh-jauh dan berkata: "Kita tertipu lagi rupanya. Mana mungkin si penderhaka boleh jadi Sang Setia!"

Maka mereka pun pulang ke rumah membuka TV dan menonton rancangan "akademik fantasia" dan "jom buat-buat heboh".

Kenangan Di Pantai Merdeka

Assalamualaikum..
Video ni adalah rakaman amatur aku ketika aku dgn family p berkelah kat pantai merdeka. Sebenarnya video ni lama dah, cuma baru skrg baru teringat nak publish, saja wat kenangan.


Akhir kata, hargailah ikatan kekeluargaan, kerana itulah sumber kebahagiaan.

Thursday, May 8, 2008

Umno buat laporan polis terhadap Karpal

Sumber: Malaysiakini


Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengarahkan setiausaha agung Umno, Datuk Tengku Adnan Mansor supaya membuat aduan polis terhadap pengerusi DAP, Karpal Singh yang mempersoalkan kuasa Sultan Perak dalam pentadbiran negeri tersebut.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu sebelum ini mempersoalkan kuasa Sultan Perak khususnya dalam kes pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) Datuk Jamry Sury.

abdullah ahmad badawi pm mihas halal convention 080508 03Bercakap kepada pemberita di ibunegara petang ini, Abdullah berkata, kenyataan Karpal itu mempunyai unsur-unsur hasutan

"Saya telah memberitahu Tengku Adnan supaya membuat aduan di balai polis supaya dibawa kepada Peguam Negara dan mahkamah mengenai Karpal Singh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan "Mihas Showcase 2008" di Tapak A, Pameran Mihas, Matrade di ibunegara hari ini.

Abdullah berkata, beliau juga diberitahu bahawa yang lain lagi - bukan sahaja orang Melayu, tetapi juga bukan Melayu - membuat laporan polis yang sama.

Katanya, mereka membuat laporan tersebut kerana merasa tersinggung dan marah terhadap kenyataan Karpal Singh yang telah menimbulkan kemarahan ramai orang.

Menurut laporan, Karpal mendakwa arahan Sultan Perak supaya Jamry dilantik semula adalah tidak sah mengikut undang-undang dan sepatutnya keputusan terdahulu kerajaan negeri mengarahkan pertukaran Jamry dikekalkan.

"(Kenyataan) Karpal itu dilihat oleh rakyat sebagai menghina Sultan, seolah-olah Sultan tidak tahu tugasnya. Ramai rakyat, termasuk Umno marah dengan tindakan tersebut," kata Abdullah.

'Tak halang Najib'

Abdullah juga menafikan kenyataan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang beliau telah menghalang perjumpaannya dengan timbalan perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Tak halang, tak halang...," kata perdana menteri bila ditanya mengenai kenyataan Dr Mahathir itu.

Semalam, Dr Mahathir berkata, beliau telah cuba untuk mengadakan perjumpaan dengan Najib "sejurus selepas pilihanraya umum" untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan hal ehwal semasa kerana beliau memandang berat terhadap apa yang berlaku dalam Umno.

"Beliau (Najib) kata beliau perlu mendapatkan kebenaran perdana menteri terlebih dahulu. Nampaknya beliau tidak mendapat kebenaran tersebut. Jadi, hingga sekarang, beliau tidak bertemu dengan saya," demikian Dr Mahathir dilaporkan berkata.

Mengenai isu Raja Petra pula, Abdullah berkata: "Kalau dah langgar undang-undang tentu ada tindakan terhadap Raja Petra. Setelah ada aduan, tentulah tindakan diambil.

"Kita ada undang-undang dan mesti menghormati undang-undang. (Bila) melanggar undang-undang, tentu tindakan diambil terhadap orang itu," tambahnya.

Mengenai kebocoran di parlimen semalam, Abdullah berkata: "Kalau bocor baiki cepat."

Tuesday, May 6, 2008

Siapa sebenarnya tentukan harga beras negara?

Persoalan penting yang ditimbulkan Salahuddin Ayub (PAS - Kubang Kerian) dalam menangani kenaikan harga beras ialah siapakah yang sebenarnya menentu harga beras negara?
Beliau yang berucap dalam satu usul tergempar di Dewan Rakyat petang ini berkata ini disebabkan Bernas diberi tanggungjawab antaranya lesen atau pun keizinan untuk megimport beras daripada luar negara.
"Dato' Yang Di-Pertua berdasarkan kepada pengwujudan Bernas ini ini saya ingin memberikan satu soalan yang penting dalam dewan yang mulia ini.
"Siapakah yang sebenarnya menentukan harga beras dalam negara kita, adakah Bernas telah menunaikan tanggungjawab besar ini ataupun Bernas menjadi sebuah badan korporat yang berorentasikan keuntungan semata-mata dan melupakan tanggungjawab asal penubuhaan mereka iaitu untuk menjaga memelihara dan menentukan bekalan beras yang cukup dalam negara kita supaya rakyat dalam negara ini mampu untuk membeli makanan asas atau ruji dalam negara kita," katanya.
Katanya rakyat berhadapan dengan isu kenaikan harga beras di pasaran dan tentu menjejaskan kedudukan mereka yang berada di luar bandar dan mereka yang berpendapatan rendah.
Tegasnya kerajaan tidak boleh mengambil faktor global, pemanasan global, berlakunya bencana alam di peringkat global sebagai alasan paling kukuh untuk mengelakkan diri daripada memantau harga beras di pasaran.
Hujah itu katanya, tidak mungkin melahirkan kerajaan yang cukup berintegriti dan kreadibiliti untuk menjawab persoalan besar yang dihadapi rakyat.
"Saya ingin mendapat kepastian adakah Bernas yang bersama dengan syarikat dikenali sebagai CBUD difahamkan ada satu ratus satu syarikat.
"Kemudian seratus bukan bumiputera dan hanya satu adalah bumiputera yang mewujudkan edaran beras nasional menunaikan tanggungjawab sosialnya untuk menentukan harga beras ini dapat dikekalkan atau diselaraskan berdasarkan kemampuan rakyat dan juga memastikan bekalan ini cukup atau tidak pada masa hadapan," katanya.
Beliau berkata jika hanya menjadikan alasan pemanasan global, bencana alam dan sebagainya ia hanya alasan untuk mengelakkan diri.
Bagaimanapun katanya, Bernas tidak pernah melakukan suatu tindakan yang proaktif untuk menjangka apakah kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku.
Malah tambahnya, masyarakat tidak menyedari bahawa stok dalam negara sebagaimana dilaporkan hanya mampu bertahan tiga bulan saja sekiranya negara-negara pengeksport beras dunia tidak lagi mengeksport beras ke dalam negara.
"Oleh itu sebagaimana saya jelaskan sebentar tadi pertanyaan yang penting dijawab kementerian apakah sistem pengeluaran dan sistem pengedaran tidak dipantau sebelum isu kenaikan harga beras ini berlaku.
"Jika sebelum ini sistem itu wujud apakah pihak kerajaan tidak dapat mengenal pasti masalah kenaikan harga akan berlaku dan bekalan mencukupi atau disebaliknya," katanya.
Beliau juga persoalkan mengapa kerajaan tidak menyelaras pelbagai kementerian penting seperti Kementerian Perdangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal pengguna, Miti, Kementerian Pertanian dan Asas Tani dalam urusan bekalan dan harga beras negara.
Selain itu katanya, kerajaan telah umumkan stok pengimbal makanan tetapi di manakah stok itu disimpan dan berapa banyak stok simpanan beras diwujudkan bagi setiap masa.
Katanya, pergerakan dan keperluan beras di setiap negeri sepatutnya sudah diketahui.
Beliau juga meminta kerajaan menyiasat dengan serius punca sebenar kenaikan harga beras dan isu kekurangan bekalan sama ada berpunca dari sindikit menyorok.
Ini katanya, pengguna sudah mula panik dengan membeli bekalan melebihi dari sepatutnya jadi bagaimana kerajaan akan menangani isu tersebut.
Sementara itu pagi tadi Yang Di-Pertua Dewan Rakyat menerima usul Salahuddin yang mencadangkan mesyuarat ditangguhkan bagi membolehkan dewan merundingkan dan membincangkan isu berkaitan harga beras di seluruh negara apabila mencatatkan kenaikan mendadak antara 15 peratus hingga 40 peratus baru-baru.

sumber: harakahdaily

Enggan diikatjamin: Raja Petra ditahan di Sg Buloh

sumber: malaysiakini


Pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin hari ini dihadap di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan menghasut berhubung artikel yang ditulis dalam blognya.

Artikel tersebut didakwa mengaitkan timbalan perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya dalam pembunuhan seorang wanita muda Mongolia.

Raja Petra minta dibicarakan. Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan kerana menyiarkan artikel berunsur hasutan pada 25 April dalam Malaysia Today.

Kes tersebut akan didengar pada 6 hingga 10 Oktober depan dan Raja Petra dibenarkan ikatmain RM5,000.

Beliau bagaimanapun enggan membayar ikatjamin dan ditahan di Penjara Sungai Buloh.

raja petra court case 060508 petra arrestedKertas tuduhan itu memuatkan sembilan perenggan dalam artikelnya yang didakwa berunsur hasutan.

Pendakwaan dibuat oleh timbalan pendakwaraya Nordin Hassan manakala Raja Petra diwakili oleh sepasukan enam peguambela yang diketuai oleh Karpal Singh.

Malam tadi, beliau diminta menyerah diri di kompleks mahkamah Jalan Duta pada jam 9.30 pagi ini untuk menghadapi tuduhan menghasut.

Ketika beliau sedang menunggu di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur apabila menerima panggilan telefon dari pihak polis pada kira-kira jam 10.20 pagi supaya hadir di mahkamah Petaling Jaya.

Bercakap kepada pemberita di komplek mahkamah Jalan Duta pagi tadi, Raja Petra mendakwa, beliau menjadi mangsa pendakwaan politik.

Katanya, beliau tahu mengenai gesaan yang dibuat oleh seorang pemimpin Umno dari Petaling Jaya (Utara) kira-kira tiga minggu lalu yang mahu "mereka mencari jalan untuk menangkap saya".

Berita mengenai kes Raja Petra itu cepat tersebar malam tadi dan pagi ini orang ramai berkumpul di kompleks mahkamah sebagai tanda sokongan terhadapnya.

Turut hadir ialah pemimpin DAP, Lim Kit Siang dan Ronnie Liu serta ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Jumaat lalu, Raja Petra dipanggil memberi kenyataan kepada polis berhubung artikel dalam blognya, Malaysia Today dua minggu lalu berkaitan dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Pada 25 April, Raja Petra menyiarkan satu artkel bertajuk 'Let's send the Altantuya murderers to hell' dalam blognya, Malaysia Today. Artikel itu mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes berprofail tinggi itu.

Najib kemudiannya menafikan perkara itu melalui setiausaha akhbarnya, Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad. Rosmah juga telah menafikan dakwaan terhadapnya itu.

Perbicaraan kes pembunuhan Altantunya sedang berjalan di Shah Alam.

Melayu bersatu hanya di perut!

Slogan 'Melayu Bersatu' semakin bising dan hingar-bingar kedengaran. Apa sebenarnya makna dan tanda slogan ini? Pada hakikatnya slogan 'Melayu Bersatu' tidak memiliki apa-apa makna - ia hanyalah slogan dan laungan yang kosong, sifar, zero dan zilch. Slogan Melayu bersatu ini samalah tarafnya dengan agenda Melayu dan agenda ketuanan Melayu.Kalau perkataan b-o-t-o-l keluar dari mulut, maka kita dapat mengenali dan memahami benda itu. Kalau bunyi t-e-l-o-r yang keluar, maka kita dapat membayangkan benda itu. Tetapi M-e-l-a-y-u B-e-r-s-a-t-u apakah bendanya yang dapat kita fahami daripada bunyi ini? Kalau slogan ini satu konsep, ia wajib memiliki asas. Konsep ialah perkataan yang memiliki makna tetapi tidak dapat dipegang dan dilihat (kecuali dalam akal). Konsep bukan botol. Konsep seperti berbudi bahasa, kita dapat menggambarkan makna dan kelakuan – berbudi bahasa - yang dicakupi oleh konsep ini.Melayu Bersatu pasti bukan konsep. Melayu Bersatu hanyalah suatu ilusi, suatu mimpi, suatu khayalan, suatu angan-angan dan suatu karut yang terlalu carut. Kalau melihat kerja ilusi David Copperfield, dapatlah juga kita dihairankannya dan ditakjubkannya. Slogan Melayu Bersatu tidak menghairankan langsung. Tidak ada yang menakjubkan. Hanya, kita berkemungkinan dapat terhibur dengan kumpulan-kumpulan lawak yang datang bersama sosok-sosok yang sedang mengheboh-hebohkan slogan ini.Melayu Bersatu bukan konsep kerana ia tidak memiliki asas. Ia menjadi karut lagi carut kerana Melayu tidak pernah bersatu. Melayu tidak bersatu. Dan Melayu tidak akan bersatu. Melayu Bersatu hanyalah satu cerita dongeng yang sengaja dijaja oleh United Malays National Organisation.Manusia bersatu bukan kerana bahasa. Manusia bersatu bukan kerana agama. Manusia bersatu bukan kerana warna kulit. Manusia bersatu bukan kerana negara. Manusia bersatu kerana kepentingan ekonomi.Kenapa susah sangat perkara ini difahami?Memang betul, pada awalnya manusia akan berkumpul dengan orang-orang yang sama bahasa, yang sama kulit, yang sama setempat atau sama agama. Perkumpulan ini menjadi asas awal untuk mereka mengenali dan berkomunikasi antara satu dengan yang lain. Apa tujuan mereka berkumpul? Mereka berkumpul untuk mencari makan. Mencari makan adalah asas ekonomi.Kenapa susah sangat perkara ini difahami?Ekonomilah yang menjadi asas untuk manusia berkumpul, berpasukan, berpersatuan, berparti atau bernegara. Manusia juga bertengkar, bertelagah, bergaduh dan berperang kerana ekonomi. Punca ekonomi ialah hakikat sejarah perjalanan tamadun manusia dari semenjak manusia mula merangkak, bangun, berjalan dan meninggalkan gua-gua batu di Kenya hingga ke hari ini. Sejarah manusia ialah sejarah mencari dan merebut peluang punca-punca ekonomi.Kenapa susah sangat perkara ini difahami?Orang Portugis, orang Belanda dan British datang ke Tanah Melayu dahulu bukan kerana gian hendak makan petai atau tempoyak. Mereka datang untuk mendapatkan bijih, emas, rempah-rampai yang boleh mereka bawa pulang ke Eropah. Barang ini untuk diniagakan. Untuk mendapat untung - ini ekonomi.George W Bush menyerang Iraq bukan kerana hendak melawat Makam Abu Nawas di Baghdad tetapi untuk mengambil telaga dan loji-loji minyak. Serangan ini perebutan punca ekonomi.Kalau masih ada yang tidak yakin bahawa seluruh hidup dan tamadun manusia hari ini berpunca daripada ekonomi, maka cuba tanya diri sendiri - kenapa selalu sangat timbul cakap-cakap tentang orang Cina di Malaysia lebih kaya daripada orang Melayu. Atau orang India di Malaysia lebih banyak yang menjadi doktor dan peguam. Atau bangunan di bandar dan di pekan Malaysia majoritinya dimiliki oleh orang Cina.Semua kenyataan ini sering dianggap dan dilihat sebagai kenyataan ‘politik’ tetapi asas kenyataan ini ialah perebutan ekonomi.Semua parti politik yang wujud dalam dunia ini ditubuhkan untuk tujuan ekonomi. Individu-individu berkumpul dan berpayung di bawah parti politik kerana mahu mendapat dan memiliki sumber-sumber ekonomi.Parti-parti politik mungkin berselindung di belakang warna kulit, di belakang bahasa atau di belakang agama. Semua ini bohong! Bahasa, warna kulit dan agama tidak dapat membeli beras. Yang dapat membeli beras hanyalah duit. Duit ialah ekonomi.Bahasa, bangsa dan warna kulit digunakan kerana senang untuk dijadikan asas awal untuk berkumpul dan berpersatuan.Agama? Agama digunakan sebagai asas parti politik kerana ia senang untuk dijadikan payung luas untuk berkumpul. Yahwe, Buddha, Jesus atau Allah direkrut oleh parti-parti yang berasaskan agama bukan bermakna parti itu suci dan dapat berurus secara peribadi dengan Yang Maha Esa. Yahwe, Buddha, Jesus atau Allah tidak pernah mengiakan atau memberi endorsement kepada iklan parti-parti politik ini. Nama-nama tuhan ini digunakan bertujuan merebut peluang ekonomi. Yang membuat dasar parti politik ini bukan Yang Maha Esa tetapi manusia dan ahli-ahli parti politik. Yang Maha Esa tidak pernah mengiakan atau menidakkan manifesto dan program parti-parti ini.Justeru, bolehkah Melayu bersatu? Jawabnya, tidak mungkin malah mustahil. Kemustahilan ini muncul kerana manusia Melayu walaupun kesemuanya bercakap Melayu, berkulit sawo matang dan menganut agama yang sama tetapi memiliki asas ekonomi yang berbeza-beza.United Malays National Organisation adalah parti yang mewakili kelas feudal, kelas komprador, kelas birokrat kapitalis dan kelas borjuis nasional Melayu. Kelas-kelas kapitalis inilah yang menjadi teras ekonomi parti politik ini.(Komprador adalah peniaga perantaraan di antara rakyat tempatan dengan kapitalis antarabangsa. Borjuis nasional adalah kaum pemodal tempatan. Birokrat kapitalis adalah individu yang menjadi pemodal melalui badan-badan kerajaan i.e. Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri atau SEDC)Parti PAS pula diwakili oleh borjuis kecil, tuan tanah kecil, peniaga kecil, kaum tani, tuan punya warung, nelayan, tok peraih, guru-guru sekolah, pensyarah kolej dan universiti, intelektual lokal dan agamawan lokal. Mereka berasa selesa dengan PAS kerana kepentingan ekonomi dan gaya hidup mereka akan dijaga dengan baik oleh parti ini.Parti Keadilan Rakyat pula mewakili kumpulan yang seakan-akan sama asas ekonominya dengan PAS tetapi mereka tidak selesa dengan gaya hidup yang dibawa oleh PAS. Mereka lebih urban, lebih kosmopolitan dan memiliki pandangan dunia dan nafsu ekonomi yang luas berbanding dengan pengikut PAS.Ada satu lagi kumpulan yang berpayung bawah PKR – mereka ini adalah kumpulan peniaga yang memiliki nafsu besar tetapi telah dipinggirkan oleh United Malays National Organisation, atau perniagaan besar mereka terpelocok ketika berlakunya krisis ekonomi 1997. Mereka ingin mencari payung baru agar nafsu dan kepentingan ekonomi mereka dapat berkembang.Lihatlah ketiga-tiga kumpulan Melayu ini - mereka tidak memiliki asas ekonomi yang sama. Malah kepentingan ekonomi mereka bertentangan sesama sendiri. Bangsa, bahasa dan agama hanyalah kulitan untuk mencari sokongan dan mengolah persetujuan.Masih tidak yakin lagi?Kalau tidak yakin tentang asas-asas ekonomi parti-parti itu, mari kita lihat ke dalam United Malays National Organisation sendiri - parti politik yang 1,000% berahlikan manusia Melayu tetapi tidak pernah bersatu malah sesudah pilihanraya 2008, mereka kelihatan sedang beramuk sesama sendiri. Amukan yang sedang berlaku hari ini berpunca daripada perebutan punca-punca ekonomi.Mahathir Mohamad mewakili komprador dan borjuis nasional yang selama 22 tahun dulu telah kenyang dan montok. Apabila Abdullah Ahmada Badawi masuk, maka para komprador dan borjuis ini sedang diketepikan kerana Abdullah sedang membawa sosok-sosok baru untuk menggantikan mereka. Dalam bahasa pasar, Abdullah Ahmad Badawi ada kroni baru dan kroni Mahathir dipinggirkan.Amat jelas, perebutan punca-punca ekonomi inilah yang menjadikan Mahathir melawan Abdullah dan hasilnya United Malays National Organisation bergaduh. Lima negeri yang diheboh-hebohkan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat bermakna lima punca ekonomi hilang - ini tidak ada sangkut-paut dengan agenda Melayu, ketuanan Melayu atau slogan Bersatulah Melayu.Orang Melayu di lima negeri ini tetap Melayu. Air sungai Perak tetap mengalir ke laut di muara Bagan Datuk. Air Sungai Gombak tetap sampai ke Klang. Melayu di mana pun mereka berada akan terpaksa juga membayar tol kalau menggunakan Lebuh Raya PLUS. Justeru, ada kumpulan yang menuduh Abdullah Ahmad Badawi lembik - hanyalah sebagai alasan atas kehilangan punca-punca ekonomi mereka. Mereka mahu seorang pemimpin yang ‘keras’ untuk menjaga kepentingan ekonomi mereka agar terus berkembang i.e. untuk mereka terus mendapat kontrak.Kalau begitu, siapa pula Tengku Razaleigh Hamzah?Ku Li mewakili kelas birokrat lama dan kelas feudal Melayu. Kelas birokrat ini muncul ketika Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan. Ketika itu kelas ini berenang dan berpesta dengan harta kekayaan negara. Kelas feudal Melayu juga dapat menumpang semangkuk. Apabila Mahathir masuk, kelas-kelas ini hampir pupus kerana banyak daripada perbadanan negeri ini diswastakan oleh Mahathir untuk menjadikan mereka borjuis nasional dan komprador. Ada kelas feudal Melayu yang berubah wajah seperti keluarga feudal Negeri Sembilan, mereka bersalin kulit untuk menjadi borjuis nasional agar tidak tercicir.Adakah saya ini antiMelayu? Jawabnya tidak. Saya bukan anti Melayu. Saya hanya antiperkara yang karut-marut. Saya yakin hanya kepentingan ekonomi sahaja yang menyatukan umat manusia. Manusia berkumpul untuk kepentingan kelas ekonomi mereka. Pertembungan kepentingan kelas inilah yang sedang berlaku di hadapan mata kita sekarang. Perebutan punca ekonomi ini sedang dikaburkan dan dipropagandakan sebagai kepentingan bangsa, bahasa dan agama. Saya anti sesiapa sahaja yang menjajakan perkara yang karut-marut.

Media tertentu cuba perbesar isu Jamry

Hubungan antara Istana Perak dan Menteri Besar, Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin disifatkan sebagai baik dan tidak wujud sebarang ketegangan antara kedua-dua pihak berhubung pertukaran 24 jam Pengarah Jabatan Agama Islam Perak Datuk Jamry Sury seperti yang diarahkan oleh Mohammad Nizar Selasa lalu. Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Asmuni Ani berkata isu itu, yang sekadar melibatkan formaliti dan prosedur yang sepatutnya dipatuhi oleh menteri besar dalam perkara membabitkan pertukaran seperti itu, cuba diperbesarkan dan dijadikan bahan polemik oleh media tertentu yang mahu mempamerkan seolah-olah Mohammad Nizar membelakangi kuasa istana. Menurut laporan Bernama, Asmuni, yang juga seorang peguam, berkata pertukaran Jamry telah dimaklumkan oleh Mohammad Nizar kepada Sultan Perak Sultan Azlan Shah sewaktu perasmian Kompleks Jabatan Kehakiman Syariah Perak di Ipoh Rabu lalu."Cuma Tuanku minta rujuk kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak iaitu Raja Muda Raja Dr Nazrin Shah. Dan Raja Muda menegur Mohammad Nizar dari sudut formaliti dan perlu mengikut prosedur yang betul. "Itu sahaja dan hubungan Istana amat baik sama ada dari segi tugasan mahupun peribadi tidak menghadapi sebarang masalah seperti yang cuba digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak," kata Asmuni dalam lamanweb PAS, HarakahDaily, hari ini. Mohammad Nizar adalah Setiausaha PAS Perak.Asmuni berkata bahawa pada awal penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, memang berlaku beberapa pegawai yang enggan bekerjasama dengan menteri besar, malahan ada yang mahu meletak jawatan ataupun ditukar ke tempat lain. "Justeru kerajaan negeri telah mengambil langkah terbaik menangani masalah-masalah individu yang tidak mahu memberikan komitmen kepada kerajaan yang baru," katanya. Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Dr Abdul Rahman Hashim dilaporkan berkata kontroversi mengenai pertukaran mendadak tersebut dianggap selesai setelah surat pelantikan semula Jamry sebagai Pengarah Jaip dikeluarkan semalam. Pelantikan semula Jamry dibuat selepas Sultan Azlan pada Jumaat lalu menitahkan Mohammad Nizar supaya menarik balik serta-merta arahan pertukaran itu yang dibuat oleh Mohammad Nizar Selasa lalu. Pada 29 April lalu, Jamry telah diarah bertukar dengan serta-merta oleh kerajaan campuran negeri Perak kerana didakwa tidak boleh memberi kerjasama.