Wednesday, December 2, 2009

P. Pinang larang sertai BTN

Pulau Pinang hari ini mengikut jejak Selangor dengan memutuskan untuk melarang kakitangannya menyertai kursus Biro Tatanegara (BTN), yang menghentam pembangkang, berkuat kuasa serta-merta.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Ketua Menteri 1, Mansor Othman dalam sidang media di lobi DUN Pulau Pinang tengahari tadi.

Beliau dilaporkan berkata langkah terbaru itu diambil kerana biro bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu tidak melaksanakan modul sebenar, malah mengisi modul "dengan sikap jijik, menghina dan mencemuh kepimpinan Pakatan Rakyat."

Kerajaan negeri juga sedang mengkaji mana-mana pihak yang menganjurkan kursus serupa kerana ada laporan mengatakan mereka sengaja melemparkan kata-kata nista kepada pihak tertentu yang tidak menyokong BN, lapor akhbar web PAS Harakahdaily.net.

Mansor, yang juga ADUN Penanti, dipetik berkata laporan yang diterima daripada peserta BTN amat mendukacitakan, malahan "ada yang tertekan dengan tindakan membuli peserta jika mereka tidak memberi kerjasama kepada penganjur."

Minggu lalu, Selangor melarang kakitangan kerajaan negeri dan pelajar di institusi pengajian tinggi miliknya menghadiri program BTN dengan alasan ia dijadikan tempat indoktrinasi dan punca pecah-belah antara kaum dan agama.

Dua lagi negeri Pakatan Rakyat, Kedah dan Kelantan, mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung isu tersebut yang kini hangat dibahaskan sehingga kabinet mengarahkan sukatan kursus BTN dirombak agar sesuai dengan semangat 1Malaysia.
-malaysiakini

Monday, October 12, 2009

Obama - merayakan meritokrasi

Hegemoni budaya gerombolan United Malays National Organisation amat meluas. Hegemoni budaya yang selama 50 tahun ini telah meresapi ke dalam semua jalur falsafah dan cara pemikiran warga Malaysia.

Hegemoni ini telah memaksa kita semua melihat diri kita bukan sebagai warga Malaysia – anak semua bangsa - tetapi melihat kewujudan kita sebagai orang berbangsa Melayu, Cina atau India atau bangsa-bangsa lain.

Dalam identiti diri yang luas ini, kita telah gagal untuk melihat diri kita sebagai warga negara bangsa dalam satu kesatuan. Jauh sekali untuk melihat diri kita sebagai warga dunia.

Tekanan hegemoni ini telah memaksa semua warga berfikir dengan menggunakan pendekatan, kayu ukur dan kaedah gerombolan United Malays National Organisation berfikir. Hegemoni ini memaksa kita melupakan meritokrasi.

Meritokrasi boleh kita hayati dengan memahami bahawa:

1 – berasas keupayaan individu, bukan kerana kelas, derajat, seksualiti atau kekayaan
2 - individu dianugerah kerana keupayaan dan ketrampilannya untuk mencapai anugerah itu
3 – memajukan individu berdasarkan ketrampilan individu

Konsep meritokrasi ini tidak memasukkan bangsa, kelas, agama, seksualiti atau gender. Konsep ini mengajukan keupayaan individu. Konsep meritokrasi ini mengajukan ketrampilan fikrah individu tanpa mengira bangsa, kelas, agama, seksualiti atau gender.

Jika individu itu memiliki berkeupayaan terunggul, maka individu itulah yang akan dipilih. Jika susuk itu bijak berilmu, maka susuk itulah yang diangkat untuk dinobatkan sebagai profesor – bukan kerana dia Melayu atau kerana dia ketua cawangan atau kerana dia saudara kepada menteri pelajaran.

Meritokrasi ini agak senang dihayati kerana ia sedang diamalkan dengan terbaik dalam arena sukan.

Jika seorang Mamat pelari 100 meter itu deras berlari, maka dia akan menjadi jaguh. Tidak ada huh tidak ada hah di sini. Jika Minah Cun itu cekap berenang, maka Minah Cun ini akan mendapat pingat emas di Sukan Olimpik. Yang terbaik adalah asas meritokrasi.

Terbukti jelas dalam arena sukan, meritokrasi telah diamalkan. Justeru sukan dilihat sebagai satu aktiviti yang adil, telus dan jujur. Terlalu susah untuk rasuah masuk dalam budaya sukan yang mementingkan merit individu.

Jika ada percubaan untuk mengangkat seorang pelari 100 meter kelas kedua untuk ke kelas pertama kerana dia saudara menteri sukan atau kerana ayahnya dulu jaguh negara, lambat-laun akan terlihat juga oleh orang ramai.

Ahli sukan kelas kedua ini akan tetap di kelas kedua apabila diduga. Yang bukan jaguh tetap bukan jaguh.

Justeru, konsep meritokrasi ini amat berguna untuk sesebuah tamadun mara maju ke hadapan. Apa yang menghalang meritokrasi dirayakan dan dinobatkan dalam sesebuah masyarakat ialah nilai feudal. Nilai feudal akan menghalang meritokrasi dari berkembang.

Dalam negara kita, budaya feudal ini yang masih menebal terutama dalam masyarakat Melayu. Budaya ini telah digunakan sebaik mungkin oleh gerombolan United Malays National Organisation untuk dijadikan sebahagian dari proses politik mengaut penyokong.

Nilai budaya fuedal gagasan gerombolan United Malays National Organisation ini gagal melihat kejaguhan dan keupayaan individu tetapi melihat susuk berbangsa apa, kelas apa, adakah dia memiliki derajat atau harta kekayaan.

Di sinilah lemahnya nilai budaya feudal. Kalau buah fikiran itu kurang baik tetapi ia wajib diterima pakai kerana tuan empunya pandangan itu seorang yang berderajat tinggi, berharta atau berpangkat atau kerana bangsanya.

Akhirnya kita sebagai warga dipaksa melakukan sesuatu yang bodoh kerana idea bodoh ini datangnya dari seorang yang berderajat tinggi.

Jika budaya feudal jadi amalan pasti tamadun itu tidak akan berkembang.

Gerombolan United Malays National Organisation telah mengamalkan konsep Ketuanan Melayu. Konsep dan falsafah Ketuanan Melayu ini melanggar dan menghancurkan nilai meritokrasi.

Contoh terbaik untuk melihat bagaimana nilai Ketuanan Melayu menghancurkan tamadun negara bangsa ialah dalam bidang keilmuan dan pembelajaran. Pada satu ketika dahulu, Universiti Malaya antara gedung-gedung ilmu yang unggul dalam dunia.

Hari ini ia telah merosot kerana keilmuan itu bukan lagi berasaskan meritokrasi tetapi berasaskan Ketuanan Melayu.

Susuk-susuk yang berilmu tidak dapat mencari ruang untuk mengembang potensi keilmuan jika susuk-susuk ini bukan orang Melayu. Atau jika pakar keilmuan ini tidak menelan Ketuanan Melayu.

Masa demi masa budaya keilmuan semakin merosot maka akhirnya orang bodoh akan menjadi guru untuk mengajar orang yang lebih bodoh. Orang yang lebih bodoh ini akan juga menjadi tenaga pengajar untuk orang yang lagi banyak bodoh. Ini terjadi di semua gedung keilmuan dalam negara ini.

Hasilnya universiti dan gedung keilmuan kita hanya sanggup mengeluar graduan-graduan yang bodoh-bodoh dan tidak memiliki pemikiran kritikal tetapi mereka Melayu.

Inilah satu contoh teragung betapa bodohnya konsep Ketuanan Melayu yang menjadi paksi budaya gerombolan United Malays National Organisation.

Sayugia disedari gerombolan United Malays National Organisation telah berkuasa 50 tahun lebih, maka hegemoni budaya feudal yang antimeritokrasi telah menyerap dalam mempengaruhi semua jalur pemikiran warga.

Akhir-akhir ini kita telah melihat bagaimana hegemoni budaya ini tanpa disedari telah juga digunakan dalam hujah yang diguna pakai oleh ahli-ahli dan simpatisan Pakatan Rakyat. Contoh terbaik apabila kedengaran tuntutan agar diwujudkan timbalan perdana menteri kedua yang bukan Melayu.

Persoalan timbul - apakah jika yang bukan Melayu ini akan menjamin seorang yang itu hebat pimpinannya, hebat jiwa juangnya, berhati rakyat atau hebat pemikiranya? Susuk bukan Melayu tidak menjamin apa-apa.

Hujah ini tidak ada bezanya dengan tuntutan agar perdana menteri itu mesti seorang Islam. Menjadi Islam sahaja tidak akan menjamin ketrampilan fikrah seseorang itu. Menjadi Islam sahaja tidak menjamin kualiti kepemimpinan.

Terbukti dengan jelas dan tidak perlu bersuluh bahawa yang Islam juga amat bijak berasuah. Yang Islam juga cukup hebat dan bijak melakukan kezaliman dan keganasan. Kezaliman bukan sahaja kepada yang tidak seagama, malah yang seagama pun dilibas sama.

Apakah kita lupa bahawa ahli-ahli dan pucuk pimpinan gerombolan United Malays National Organisation semuanya penganut Islam. Ramai antara gerombolan ini telah berpuluh kali berumrah, berbelas kali naik haji. Tetapi lihat hasilnya - tarak.

Kita wajib menobatkan mereka yang berilmu. Kita wajib menobatkan mereka yang jaguh. Dalam semua bidang, yang bijak fikrahnya wajib di hadapan. Anak semua bangsa kita wajib merayakan meritokrasi.

Wednesday, September 2, 2009

ADUN Pakatan ditangkap, SUK Perak dikawal ketat

DUN Pakatan Rakyat Perak nekad untuk meneruskan rancangan mereka untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini walaupun pihak polis melarang semua pihak daripada berhimpun di bangunan sekretariat kerajaan negeri.

Menteri Besar Pakatan, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan beberapa ADUN Pakatan mula tiba di bangunan tersebut pada kira-kira jam 8.45 pagi. Turut hadir ialah kira-kira 150 penyokong mereka.

Manakala pihak polis mengadakan kawalan ketat di sekitar bangunan tersebut oleh anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan trak meriam air digunakan untuk menutup pintu belakang.

Polis juga menutup kawasan berpokok di mana ADUN Pakatan mengadakan sidang DUN Mac lalu. Kira-kira 100 anggota polis ditempatkan berkawal di situ.

Pada jam 9.45 pagi, semua wakil rakyat Pakatan dan Speaker V Sivakumar mula berjalan dari pejabat DAP Perak menuju ke bangunan sekretariat. Mereka disertai oleh kira-kira 50 penyokong.

Apabila dihalang oleh pihak polis, Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham bertengkar dengan mereka mengenai perintah mahkamah melarang perhimpunan itu diadakan.

"Perintah mahkamah melarang orang awam berada di situ, tetapi tidak menyebut tentang ahli dewan undangan negeri. Adalah salah untuk menghalang ADUN menjalankan tugas mereka...

"Lagi pula, Seksyen 90 Kanun Prosedur Jenayah menyebut perintah tersebut mesti diwartakan,” tegasnya.

Mereka kemudiannya cuba meneruskan perarakan itu tetapi dihalang oleh anggota polis mencegah rusuhan. Ngeh ditangkap pada jam 10 pagi.

Turut ditangkap ialah Stanley Tan, seorang jurugambar akhbar Nanyang Siang Pau, yang dikatakan turut disepak ketika ditahan.

Dia kedengaran menjerit kepada polis: "You nak kerja, kita pun nak kerja."

Turut ditangkap ialah ADUN Malim Nawar Keshvinder Singh dan ADUN Simpang Pulai, Chang Ming Kai. Tiga lagi yang ditangkap ialah orang awam.

Pada jam 10.20 pagi, ADUN Pakatan dan penyokong mereka berundur semula ke ibupejabat yang terletak di belakang bangunan SUK.

Di situ, Sivakumar memberitahu wartawan bahawa sidang DUN itu akan diadakan di Hotel Heritage dekat situ berasaskan kepada doktrin keperluan.

Manakala Nizar mengecam polis yang didakwanya bertindak keras ketika menangkap tiga ADUN Pakatan dan orang awam.

"Ini bukan yang mulia, tetapi mereka bersikap sedemikian," kata Nizar.

Difahamkan, Keshvinder tercedera ketika ditangkap dan telah dibawa ke hospital besar Ipoh untuk rawatan.

Kumpulan Pro-BN

Sementara itu, kumpulan kedua - penyokong BN yang memakai baju kuning - juga mula tiba di kawasan tersebut pada kira-kira jam 10 pagi, sambil melaungkan slogan menyokong kerajaan negeri BN, Sultan Perak dan kesucian DUN.

Bagaimanapun, anggota polis bertindak menyeleraikan mereka. Mereka bersurai tetapi sempat menayangkan sepanduk menyokong Menteri Besar BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan kerajaan negeri, berhampiran penyokong Pakatan.

Satu daripada sepanduk itu bertulis Dr Zambry dan kerajaan BN adalah pilihan rakyat.

Saksi mendakwa pihak polis bertindak lembut ketika meleraikan kumpulan penyokong BN itu.

Dalam satu lagi perkembangan, peguam Pakatan dijangka memfailkan permohonan di mahkamah pagi ini untuk membatalkan perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ipoh semalam, melarang sebarang perhimpunan diadakan dalam kawasan sekitar 30m dari bangunan sekretariat.

Perintah diperolehi pihak polis bagi menghalang perhimpunan ADUN Pakatan itu berkuatkuasa dari jam 1 pagi ini hingga 11 pagi esok.

Semalam, Ketua Polis Ipoh, ACP Azisman Alias berkata hanya kakitangan kerajaan yang bertugas di bangunan itu dibenarkan masuk hari ini.

Notis untuk mengadakan sidang hari ini dikeluarkan minggu lalu oleh Speaker Pakatan, V Sivakumar, yang juga ADUN Tronoh.

Speaker BN, Datuk R Ganesan bagaimanapun meminta para ADUN supaya mengenepikannya kerana ia dikeluarkan oleh sumber yang tidak sah.

Wednesday, March 4, 2009

P. Ramlee sudah ramal sidang DUN bawah pokok

Sidang DUN Perak bawah pokok yang berlaku hari ini (3 Mac 2009) persis filem P. Ramlee 'Laksamana Do Re Mi', takhta kerajaan Pasir Dua Butir bersidang di bawah pokok.
angkah 'rampasan kuasa' di Perak memang dipersoalkan, tetapi seperti dialog Tok Nikah Kahwin dalam 'Musang Berjanggut' semuanya menjadi �halal�. Insiden yang berlaku hari ini (3 Mac 2009) apabila DUN Perak bersidang di bawah pokok, persis filem P. Ramlee 'Laksamana Do Re Mi', takhta kerajaan Pasir Dua Butir bersidang di bawah pokok.

Maknanya, P. Ramlee lebih jauh pandangannya kerana filem yang dibuat pada dekad 1970-an, benar-benar berlaku pada 3 Mac 2009, apabila Menteri Fasola merampas kuasa. Ironinya, Menteri Fasola masih berkeras mahu menunjukkan sikap 'akulah aku' dengan tak menghirau majoriti rakyat terlalu meluat, mencemuh dan mencerca.

Menteri Fasola pula berlindung di dalam gua (kekebalan itu undang-undang Dato' yang bikin), hingga peguam tertentu juga boleh bercakap: Mesyuarat Bawah Pokok tinggallah di bawah pokok".

Menteri Fasola tidak pula memikirkan krisis perlembagaan akan berterusan, macam kisah dua ekor kambing meniti titran lapuk. Apabila kedua-dua tak mahu beralah, maka kedua-dua ekor kambing berkenaan akan jatuh ke dalam lurah.

Dato' Seri Najib yang terlalu ghairah dengan kerusi Perdana Menteri juga secara rasional di atas kertas memang 'takkan lari gunung dikejar'.

Tetapi William Shakespear ketika menghasilkan drama popularnya 'MacBeth', sukar menggapai harapan sekadar bersandarkan ramalan tukang-tukang tilik yang setia berkhidmat dengannya.

Hingga si tukang tilik mempengaruhi Lady MacBeth, mengenai pokok-pokok akan bergerak sebagai tanda kejayaan matlamatnya.

Justeru, kebencian rakyat Perak sekarang bukan kepada Umno, tetapi Dato� Seri Najib yang jelas terbabit dalam segala insiden di Perak sekarang ini. -azm (Artikel ini dipetik daripada laman blog Dharmala NS, sasterawan Melayu yang mengetuai Warga Prihatin Malaysia )

Friday, February 20, 2009

SIAPA SEBENARNYA PENDERHAKA KEPADA RAJA RAJA MELAYU??

"Walau seberapa banyak sekalipun askar, polis atau pengawal istana digaji untuk melindungi dan menjaga tahta, namun tiada satu pun akan dapat mengatasi kehendak dan aspirasi rakyat jelata. Walau seberapa banyak peluru bedil atau peluru meriam sekalipun digunakan, namun tidak satu pun dapat menyekat kemarahan aspirasi rakyat. Jika kehendak rakyat jelata dimakbulkan Allah, maka (berlakulah) perpindahan takhta dari istana ke muzium seni dan budaya" - Titah Sultan Azlan Shah ketika dianugerahkan Doktor Kehormat Undang-undang, di Majlis Konvokesyen, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada 29 Jun 1980.

Peristiwa 1. Pakatan Rakyat bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Sultan Perak dan Barisan Nasional (BN) jika terus melantik Menteri Besar BN yang baru, kata pengerusi DAP Karpal Singh dalam laporan berita Bernama. Beliau berkata Pakatan tidak mempunyai pilihan bagi mengambil tindakan itu kerana pelucutan jawatan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin oleh Sultan Azlan Shah jelas di luar batas kuasa dalam peruntukan Artikel 16 (6) Undang-Undang Tubuh Negeri.

"Dalam undang-undang, keputusan Sultan Perak boleh dipersoal di mahkamah undang-undang. Saya meminta Sultan menghentikan dan berhenti daripada melantik seorang Menteri Besar BN baru dan ahli majlis mesyuarat selepas tengah hari ini," katanya di satu sidang akhbar. Karpal Singh berkata tindakan ini tidak boleh, dalam apa jua cara, dilihat sebagai ancaman kepada Sultan tetapi merupakan peringatan tegas bahawa pemerintah diperlukan untuk bertindak di dalam lingkungan had dan batas Undang-undang Tubuh Negeri Perak yang merupakan undang-undang tertinggi di negeri itu.

Peristiwa 2. Standard Chartered Bank Malaysia Berhad menyaman Dipertuan Besar Negeri Sembilan sebelum ini, Allahyarham Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman.

Peristiwa 3. Fasal 38 (4) Perlembagaan Persekutuan untuk mengurangkan imuniti raja-raja Melayu pada tahun 1993, Allahyarham Tun Ghafar Baba telah mengemukakan usul khas di Parlimen pada 10 Disember 1993 memberitahu dewan bahawa seorang rakyat Malaysia bernama Douglas Gomez telah dicederakan di Istana Bukit Serene oleh Sultan Johor pada 30 November 1992.

Peristiwa 4. Beberapa menteri kabinet mendedahkan skandal pemilikan harta raja-raja. Antaranya membabitkan pemberian konsesi balak ribuan hektar kepada raja tertentu. Didedahkan juga bahawa tiap-tiap sultan telah ditawarkan 100,000 unit saham Telekom dan berbagai lagi. Filem-filem Melayu lama pula yang mengisahkan tentang kezaliman dan kebodohan raja-raja Melayu diulang tayang di kaca tv.

Peristiwa 5. Ahli Parlimen Arau waktu itu, Datuk Seri Shahidan Kassim menjadi juara bila mendedahkan keburukan keluarga Sultan Johor yang bertanggungjawab melakukan 23 kes penganiayaan ke atas rakyat jelata yang tidak berdaya termasuk memukul, mencedera dan merogol semenjak dari tahun 1972. Semua Sultan didedahkan keburukkan mereka.

Peristiwa 6. Apabila pada 29 April 1993 Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Ibrahim Ali menabal Tengku Ibrahim Indra Petra di Ketereh dalam majlis anjuran Yayasan Kemiskinan Kelantan yang dipengerusikan Annuar bagi mengantikan Sultan Ismail Petra oleh kerana menurut mereka Sultan itu bukan waris yang sah.

Peristiwa 7. Program Semarak di Lubok Jong, Pasir Mas mencetuskan perarakan yang dipimpin Tan Sri Mohamed Yaacob ke istana menyerah memorandum mendesak Sultan Kelantan turun takhta. Buatlah penilaian secara rasional siapa penderhaka kepada Kesultanan Melayu dan orang yang terlibat dalam peristiwa di atas mendokong parti politik mana. Harus diingat janganlah Kesultanan Melayu diheret dalam kancah politik yang berat sebelah. Kesultanan Melayu harus diletakkan di tengah tengah sebagai pendamai bukan pemuas nafsu sebelah pihak. Kembalikan Kedaulatan Kesultanan Melayu.