Monday, April 14, 2008

Wakil Umno 'di sebalik' projek babi

Petikan dari Malaysiakini.com

Sebuah syarikat bumiputera turut terlibat dalam projek penternakan babi di Selangor yang menimbulkan kontroversi minggu lepas dan seorang wakil rakyat Umno berada "di belakang" projek tersebut, kata seorang pemimpin MCA.

Syarikat tersebut, yang terlibat dalam satu projek usahasama, bercadang menggunakan wang - dilaporkan menelan belanja RM100 juta - daripada dana program alam sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

selangor pig farmMendedahkan perkara itu kepada satu sidang media hujung minggu lalu, ketua biro pertanian tradisional MCA Datuk Dr Lee Chong Meng berkata syarikat bumiputera itu berhasrat membawa masuk teknologi Jerman untuk projek tersebut.

Akhbar The Sun hari ini yang mengutip laporan The Oriental Daily semalam menyebut, wakil rakyat BN-Umno bagi kerusi Tajung Sepat, Datuk Karim Mansor, bersama seorang ketua kampung di situ turut bersama dalam rombongan ke luar negara untuk melihat teknologi tersebut.

Rombongan itu dihantar oleh kerajaan Selangor bawah pentadbiran BN bagi menilai teknologi yang boleh menguruskan penternakan babi - masalah yang serius di negeri itu sejak lebih dua dekad.

Karim, yang juga bekas ketua Pemuda Umno negeri, antara pemimpin Umno yang lantang membantah isu itu di akhbar-akhbar berbahasa Melayu minggu lepas.

Sementara ketua kampung di Ladang Tumbuk - tempat projek itu diadakan - turut menyertai bantahan projek tersebut di depan bangunan kerajaan negeri Selangor di Shah Alam.

Rabu lalu, 200 penduduk kampung di sekitar Sepang mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sebagai membantah projek berkenaan.

Dr Lee berkata beliau mengetahui segala-galanya tentang projek tersebut "seperti tapak tangannya sendiri" kerana terlibat dengan semua mesyuarat berhubung perkara tersebut.

Menurut The Sun lagi, Dr Lee mempunyai minit mesyuarat dan rekod untuk membuktikan dakwaannya.

Menteri besar Selangor waktu itu Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo sendiri telah meluluskan projek pemindahan 132 ladang babi ke projek seluas 460 hektar itu, kata Dr Lee, melalui dua ahli exco kerajaan negeri Datuk Ch'ng Toh Eng dan Datuk Tang See Hang pada awal tahun lepas.

khir toyo interview 171207Kebanyakan ladang tersebut sedia wujud di kampung Ladang Tumbuk atau dari sekitar daerah Kuala Langat, tambah ketua biro MCA itu lagi.

Dr Lee menambah, sebelum pembubaran parlimen, kerajaan Selangor bawah pentadbiran BN meluluskan projek tersebut dan Karim sendiri menyokong projek tersebut.

"Hari ini (Sabtu) saya mahu tekankan bahawa kos RM100 juta itu yang bertujuan mempertingkatkan sistem pembuangan sisa ternakan bukan datangnya daripada kerajaan negeri," beliau dipetik sebagai berkata.

"Datuk Karim yang akan membawa sebuah syarikat Jerman untuk satu usahasama dengan sebuah syarikat Bumiputera."

Ketua biro MCA itu kesal kerana Karim, yang juga bekas setiausaha politik Dr Mohamad Khir, dan ketua kampung itu Mohamad
Tarmudi Tushiran sanggup membantah projek tersebut semata-mata kerana kepentingan politik peribadi.

Karim, dihubungi Malaysiakini hari ini, menafikan beliau membantah projek tersebut seperti dilaporkan media berbahasa Melayu.

Malah, katanya, beliau terlibat untuk memodenkan projek penternakan babi bermula sejak 2002 lagi.

Bagi mengatasi masalah ladang haram penternakan haiwan itu dan pencemaran yang dihasilkannya, projek pemodenan itu diperkenalkan mulai 2005.

Tambahnya, mereka bukan sahaja melawat Frankfurt (Jerman), tetapi meninjau juga Bangkok (Thailand) dan Amsterdam (the Netherlands).

Sementara itu sumber-sumber PKR memberitahu Malaysiakini, beratus-ratus ribu risalah penerangan tentang isu tersebut - dipercayai termasuk maklumat yang didedahkan oleh MCA ini dan data kerajaan negeri - akan diedarkan kepada penduduk Selangor.

PAS sebelum ini dilaporkan akan menemui rakyat Selangor untuk menjelaskan isu tersebut yang mendapat liputan meluas - dianggap boleh membawa kesan negatif kepada pentadbiran Pakatan Rakyat - di akhbar-akhbar berbahasa Melayu selama beberapa hari minggu lepas.

Pembunuh nombor satu wanita

keratan utusan malaysia 14 April 2008
bahagian kesihatan..


SALAH satu penyakit yang amat digeruni di kalangan kaum wanita di dunia, termasuk Malaysia, ialah kanser payudara.

Walau bagaimanapun, penyakit payudara tidak terhad kepada kanser sahaja. Payudara juga terdedah kepada pelbagai penyakit lain seperti:

1. Fibrocystic Myopathy

* Walaupun ia kerap berlaku dengan peningkatan umur, penyakit ini lebih ketara di kalangan golongan muda.

Pesakit selalunya berasa kesakitan pada payudara terutamanya sebelum kedatangan haid.

Selalunya pesakit akan berasa ketulan kecil di dalam payudara tanpa ketulan biji yang sebenar.

Ini berpunca daripada percambahan (hyperplasia) tisu payudara terutama sebelum kedatangan haid.

2. Jangkitan kuman

*Jangkitan kuman berlaku sama ada secara akut atau kronik. Jangkitan akut termasuklah bisul payudara dan mastitis. Jangkitan kronik yang biasa dikesan adalah Tibi payudara.

3. Ketumbuhan dalam payudara

*Ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu:

i. Benign – ketumbuhan ini membesar tetapi tidak merebak ke bahagian lain badan. Contohnya seperti penyakit Fibroadenoma, fat necrosis, granular cell myoblstoma.

ii. Malignant – ketumbuhan ini merebak dan membiak ke lain-lain bahagian badan dan sekiranya dibiarkan akan membawa maut.

Terdapat banyak jenis ketumbuhan dalam payudara tetapi kanser payudara adalah penyakit terunggul dalam golongan ini.

* Kanser payudara

Kanser payudara didefinasikan sebagai kedapatan ketumbuhan yang terbukti malignant di dalam payudara. Ini untuk mengasingkan kanser payudara dengan ketumbuhan lain yang kerap berlaku di dalam payudara.

*Punca

Seperti kebanyakan kanser, punca penyakit kanser payudara masih samar. Walau bagaimanapun, ia ada berhubung kait dengan hormon wanita dan warisan genetik. Mengikut rekod, wanita yang tidak mempunyai ovari, ovari yang tidak berfungsi atau wanita yang tidak menjalani rawatan Terapi Hormon Gantian (HRT) tidak mendapat kanser payudara. Walaupun 99 peratus kanser payudara berlaku di kalangan wanita, terdapat satu peratus kalangan lelaki yang menghidap kanser payudara.

Di negara Barat, purata 185,000 wanita mendapat kanser payudara setiap tahun. Dari bilangan ini 43,500 meninggal dunia setiap tahun akibat kanser berkenaan. Kemuncak kejadian berlakunya kanser payudara pula adalah kepada golongan dalam lingkungan umur 45 hingga 50 tahun dan 55 hingga 60 tahun.

Di Malaysia, keadaannya sedikit berbeza. Mengikut Daftar Kanser Negara, purata 4,000 wanita menghidap kanser payudara setiap tahun dan kadar ini turut menunjukkan peningkatan setiap tahun. Di dalam satu kajian pada tahun 2000, terdapat 3,825 wanita penghidap baru kanser payudara. Ia meningkat ke 4,337 pada 2002. Daripada bilangan ini, hampir 2,000 orang meninggal dunia setiap tahun akibat kanser tersebut.

Kanser payudara kerap berlaku di kalangan kaum Cina (59.7 peratus), diikuti India (55.8 peratus) dan Melayu (33.9 peratus) bagi setiap 100,000 penduduk negara ini. Daripada bilangan ini, insiden kematian akibat kanser payudara paling banyak berlaku di kalangan kaum Melayu (54 peratus) berbanding dengan Cina (37 peratus) dan India 43 peratus).

Ini mungkin disebabkan sebilangan wanita Melayu kurang menjalani ujian saringan (mammogram), kurang menjalankan pemeriksaan payudara sendiri di rumah dan hadir pada peringkat lewat kanser berkenaan untuk mendapatkan rawatan. Di Malaysia kanser payudara berlaku di kalangan mereka di bawah umur 50 tahun dan mencapai kemuncaknya di kalangan wanita pramenopaus. Walau bagaimanapun kanser payudara juga biasa berlaku di kalangan wanita berumur 20 tahun ke atas.

Tanda-tanda penyakit

*Ketulan atau biji – kebiasaannya pesakit kanser payudara datang apabila terasa ketulan atau biji di dalam payudara atau sekitar kawasan ketiak

*Perubahan bentuk dan rupa kulit payudara

*Cecair yang tidak biasa keluar, termasuk darah, keluar dari puting susu

*Kesakitan payudara (sekiranya kanser, ia adalah lewat)

Sekiranya anda mempunyai tanda-tanda seperti yang tersebut di atas, segeralah berjumpa pengamal perubatan untuk mendapatkan kepastian. Kebiasaannya doktor akan memeriksa payudara tersebut secara manual untuk memastikan adanya tanda-tanda penyakit. Seterusnya, beberapa pemeriksaan makmal atau imbasan juga akan dijalankan bagi memastikan jika ianya kanser atau bukan.

Pemeriksaan saringan

Imbasan

*X-ray mammografi – ini selalunya dilakukan untuk kanser tidak ketara

*Optical and doppler ultrasound, untuk membezakan ketulan biji air (cyst) atau pejal (daging)

*Diaphanography (transillumination payudara), bagi melihat ciri perbezaan dalam tisu payudara

*Thermography – mengukur suhu payudara (suhu selalu meningkat di kawasan kanser)

*Magnetic Resonance Imaging (MRI)

*Imbasan Radionuclide

Pemeriksaan makmal

1. Pemeriksaan darah – doktor akan menjalankan beberapa pemeriksaan darah secara rutin untuk mengkaji status organ dalaman.

Walaupun terdapat beberapa bahan kimia penanda untuk kanser di dalam darah (tumor markers), kepastian kegunaannya masih disangsikan.

2. Pemeriksaan sitologi. (Fine Aspiration Needle Biopsy). Ia dilakukan dengan mengambil sedikit contoh sel dari ketumbuhan untuk pemeriksaan mikroskop. Ini adalah cara terbaik untuk mendapatkan diagnosis tepat untuk kanser dan patut dilakukan ke atas setiap ketumbuhan dalam payudara.

Semua pemeriksaan yang dilakukan adalah untuk dua tujuan iaitu:

1. Mengenal pasti penyakit

2. Mengenal pasti peringkat penyebaran penyakit (staging)

Rawatan kanser payudara

Kejayaan sesuatu kaedah rawatan itu berdasarkan peringkat kanser pesakit ketika mula datang untuk mendapatkan rawatan. Peringkat 0,1 dan 2 adalah peringkat awal. Pesakit dalam peringkat-peringkat ini mempunyai peluang yang lebih besar untuk hidup lebih lama selepas kanser dikesan, berbanding peringkat 3 dan 4 yang dikira peringkat lanjutan yang agak lambat dikesan.

Cara rawatan kanser payudara telah berkembang dan hasilnya kini semakin memberangsangkan. Berdasar statistik, di negara maju 80 hingga 85 peratus pesakit kanser payudara dapat menjalani kehidupan biasa setelah menjalani rawatan, berbanding hanya 58 peratus di Malaysia.

Jangka hayat pesakit kanser payudara di kalangan bangsa Melayu adalah pendek (66 peratus) berbanding dengan kaum Cina (63 peratus) dan India (57 peratus). Ini disebabkan kebanyakan pesakit bangsa Melayu datang mendapatkan rawatan apabila kanser sudah di peringkat 3 atau 4.

Pada masa ini, terdapat tiga kaedah rawatan kanser payudara yang diterima umum. Rawatan ini selalu digandingkan antara satu sama lain untuk memberi kesan yang maksimum dalam membunuh sel kanser.

1. Pembedahan - dilakukan untuk membuang seberapa banyak tisu kanser dan juga memberi peluang untuk rawatan gandingan lebih berkesan. Pembedahan yang kini digunakan dalam dunia perubatan adalah:

a. Segmentectomy – sebahagian payudara bersama kanser dibuang. Ia selalu digandingkan dengan rawatan radiasi. Sesuai untuk kanser kecil kurang dari 5sm.

b. Mastectomy Penuh – sama ada berbentuk mastectomy mudah, mastectomy ubah suai atau mastectomy radikal. Ia berdasarkan berapa banyak tisu sekeliling kanser, termasuk nodus limfa di ketiak, dibuang bersama kesemua payudara tersebut.

2. Radiasi – ini selalunya dilakukan kepada payudara selepas pembedahan untuk memastikan pemusnahan semua sel kanser.

3. Ubatan – rawatan ubatan untuk kanser lebih berbentuk rawatan seperti kemoterapi dan terapi hormon.

Di negara maju keberkesanan rawatan merangkumi sehingga 80 hingga 85 peratus kerana kebanyakan pesakit menerima rawatan di peringkat awal. Setakat ini, belum ada bukti saintifik yang kukuh mengaitkan pemakanan bahan atau ubat tertentu dapat menghindar kanser payudara. Apa yang pasti, peningkatan tahap kesedaran dan menerima rawatan awal untuk kanser payudara dapat memberi harapan untuk kehidupan seperti biasa. Diharapkan kesedaran mengenai pentingnya pengesanan dan rawatan awal dapat diterapkan di kalangan wanita di Malaysia.

Friday, April 4, 2008

Sedutan Ucapan Tengku Razaleigh Hamzah

'Kapal Umno hampir tenggelam'

Sampai saat ini, setelah hampir sebulan Umno dan BN mengalami ‘malapetaka’ politik yang dahsyat itu, tidak ada apa-apa tindakan yang diambil oleh pucuk pimpinan parti untuk membincangkan sebab-sebab mengapa ‘malapetaka’ itu berlaku pada Umno dan BN.

Tidak ada usaha untuk mengajak para perwakilan Umno dari semua peringkat–peringkat bahagian dan cawangan – untuk mengadakan proses muhasabah secara terbuka, secara kritis tetapi tenang.

Matang dan rasional, tidak beremosi, dari hati ke hati sesama anggota parti sendiri, membincangkan ‘masalah rumah’ sendiri ini, dan mencari jalan yang baik dan benar dengan tujuan untuk memperbaiki diri dan menghindari berlakunya kejadian yang lebih buruk lagi baik sekarang mahu pun dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Kita mendengar bermacam-macam reaksi, pandangan dan keluhan, kritik dan tuduh-menuduh dari orang-orang perseorangan Umno, yang paling banyak ialah dari beberapa orang pemimpin dan menteri Umno.

Ada yang mengatakan bahawa kita sebenarnya tidak kalah, kita masih menang; ada yang berkata, "BN akan bangkit semula untuk menebus kekalahannya"; ada yang menyalahkan orang Melayu yang memilih parti lain, dan berkata orang Melayu itu "tidak mengenang jasa" (tidak tahu saya ‘jasa siapa dan apa’); ada yang menyalahkan generasi muda Melayu kerana kononnya mereka "tidak faham perjuangan Umno" atau kerana mereka tidak mendapat berita, maklumat dan cerita yang sebenar tentang kerajaan, Umno dan BN yang disiarkan dalam surat khabar arus perdana, tetapi membacanya dari blog-blog ‘anti kerajaan’ dan ‘anti Umno’ dalam Internet.

Jadi, nampaknya, kita masih mengekalkan fiil dan budaya lama, fiil tidak mahu memeriksa kesalahan dan kelemahan kita secara kolektif, secara rasional, bijak dan cerdik.

Kita mencari kesalahan orang lain, kesalahan pengundi, kesalahan parti lawan.

Para pemimpin parti – walaupun tidak semuanya – cuba menutup suara rakyat akar umbi Umno, tidak mahu mendengar pandangan dan kritikan dan teguran mereka.

Kita pergi ke sana ke mari menyebarkan propaganda dan dongeng bahawa parti akan rosak jikalau ahli akar umbi Umno tidak menyerahkan segala masalah yang dihadapi oleh Umno sekarang kepada pucuk pimpinan untuk ditangani dengan sebaik-baiknya – mereka diseru supaya memberikan kepercayaan kepada pucuk pimpinan.

Apakah mereka tidak sedar bahawa yang menjadi punca besar kelemahan Umno yang membawa kepada malapetaka yang tersebut itu bukan rakyat akar umbi Umno tetapi ialah kelemahan kepimpinan Umno, ini termasuk para menteri Umno, yang setengah-setengahnya tidak mempunyai rekod peribadi, moral dan budaya yang baik.

Merekalah yang tidak mahu Umno berubah; merekalah yang mahu kepimpinan Umno yang ada dikekalkan, jangan digantikan, jangan ditandingi.

Masalah Umno bukan masalah beberapa orang yang berkepentingan sahaja, tetapi masalah bersama semua ahli Umno.

Umno bukan kelab golongan elit, golongan hartawan dan peniaga, kelab ‘eksklusif’. Umno ialah parti politik kebangsaan Melayu.

Tugasnya bukan untuk menjaga periuk nasi anggota atasannya tetapi untuk memperjuang, menegakkan, dan memperkukuh tiga tiang kekuatan bangsa Melayu, yang saya sebut tiang Alif, Ba, Ta: Alif bererti Agama, Ba bererti Bahasa, Budaya dan Bangsa, dan Ta bererti ‘Tanah Air’.

Apabila Umno tidak lagi mempedulikan perjuangan Alif, Ba, Ta ini, yang merupakan perjuangan Melayu yang asas, yang fundamental, alamat Umno akan kehilangan pedoman dan petunjuk daripada Allah dan akan ditinggalkan oleh bangsa Melayu.

Masalah kita sekarang ialah, bagaimanakah anggota Umno sebahagian besarnya tidak akan lari meninggalkan kapal yang sedang rosak dan bila-bila masa boleh tenggelam kerana nakhodanya lemah, dan seringkali meninggalkan kemudi atau menyerahkannya kepada anak-anak kapalnya.

(Tiga Perubahan Besar Yang Harus Berlaku dalam Umno)

Anggaplah masalah yang kita hadapi itu sebagai darurat Umno. Untuk menangani sesuatu darurat kita perlu bertindak segera sebelum darurat itu merebak dan merosakkan seluruh asas tamadun dan perjuangan Umno yang telah dibina sejak tahun 1946.

Kita perlu mengadakan sidang muhasabah dengan segera, melibatkan perwakilan Umno yang selama ini menjadi nadi dan tenaga raksasa dalam kelangsungan hidup Umno selama 60 tahun, untuk membincangkan kelemahan dan kesalahan Umno selama ini dan memikirkan visi baru Umno untuk menghadapi masa depan yang lebih mencabar.

Rakyat hari ini tidak sama lagi dengan rakyat 40 atau 30 tahun yang lepas. Harapan mereka tidak sama lagi dengan harapan ibu bapa atau nenek mereka. Umno perlu terus relevan dengan cita-cita, harapan dan tuntutan mereka.

Saya hendak menyentuh tiga perkara pokok yang saya anggap menjadi punca kelemahan Umno, terutama mulai tahun 1980-an sehingga akhirnya menyebabkan Umno (dan BN) nyaris-nyaris terlungkup dalam pilihanraya umum ke-12.

Ini bermula apabila Perlembagaan Umno dipinda dengan memasukkan peraturan baru yang menetapkan syarat bahawa anggota parti yang hendak menandingi jawatan Presiden hendaklah mendapat pencalonan sebanyak 30% daripada bahagian Umno. Ini bererti calon itu perlu mendapat pencalonan daripada 58 bahagian daripada jumlah 191 bahagian Umno.

Tujuannya kononnya ialah untuk mengelak supaya tidak sembarangan anggota parti sahaja, sesuka hatinya dan secara bermain-main akan mengemukakan dirinya sebagai calon Presiden atau jawatan-jawatan lain.

Saya tidak fikir anggota Umno yang tahu diri dan berbudaya dengan sesuka hati sahaja akan mencabar presiden Umno, lebih-lebih lagi jikalau Presiden itu diketahui oleh semua anggota parti sebagai pemimpin yang baik, cekap, bijak, adil, bersih dan tegas.

Sebelum kuota itu diperkenalkan Umno pernah juga mengenakan peraturan, iaitu calon hendaklah mendapat pencalonan daripada dua bahagian sahaja. Ini ‘peraturan’ yang munasabah dan tidak terlalu ‘undemocratic’.

Parti yang wujud dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi tetapi tidak mengamalkan demokrasi dalam partinya sendiri, bagi saya, ini adalah amalan yang bercanggah dan luar biasa.

Parti yang tidak mengamalkan demokrasi bererti parti itu menyekat atau tidak menggalakkan tumbuhnya kecekapan dan kreativiti dalam parti itu; anggotanya tidak dibenarkan bersuara untuk menegur pimpinan parti, atau untuk memilih pemimpin yang lebih baik.

Orang tidak dibenarkan dan selalunya disekat malah digertak supaya jangan menentang atau menandingi pemimpin-pemimpin parti.

Akibatnya parti menjadi beku. Pembaharuan dan kemajuan parti bantut. Kita lebih seronok mempercayai bahawa parti tidak menghadapi apa-apa masalah, parti kita kuat, anggota parti bersatu, dan pelbagai persepsi diri sendiri yang diciptakan secara emosi dan retorik.

Orang lebih taat kepada pemimpin daripada kepada parti dan perjuangan parti. Rasuah politik akan dan memang sedang berlaku dalam parti sebagai cara untuk membeli undi atau untuk mengekalkan kedudukan pemimpin yang lemah. Maka lahirlah banyak ‘pak turut’ dan ‘tukang ampu’ dalam parti yang secara tidak bermoral dan berprinsip akan sentiasa memuji dan membela pemimpin walaupun mereka tahu pemimpin itu lemah.

Inilah keadaan yang berlaku dalam Umno hingga sekarang. Setiap kali menjelang pemilihan parti, ada sahaja orang dan puak yang menyeru anggota parti supaya jawatan Presiden parti, atau Timbalan Presiden, ketua Wanita, atau ketua Pemuda tidak ditandingi.

Sebenarnya mereka tidak berhak berbuat demikian. Memilih pemimpin parti dari peringkat Presiden hingga ke peringkat pemimpin akar umbi adalah hak anggota parti.

Jadi, untuk menyelamatkan Umno dan menjadikannya parti politik kebangsaan Melayu ini terus relevan, cekap, kuat dan maju sepanjang zaman, demokrasi hendaklah dikembalikan dalam Umno. Saya mengesyorkan dua perubahan: Pertama, kuota yang ada itu dihapuskan dan kedua, parti hendaklah mengawal kerajaan.

Ahli Umno yang memegang jawatan kerajaan tidak boleh lebih berkuasa dari parti. Partilah yang seharusnya mengawal, memantau dan menilai prestasi mereka. Jika mereka menjalankan dasar yang bertentangan dengan dasar parti, mereka boleh dipersoalkan oleh Majlis Tertinggi Umno.

Logik cadangan ini mudah dan jelas: Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri dari Umno tidak akan memegang jawatan itu sekiranya mereka tidak lebih dahulu dipilih oleh perwakilan Umno sebagai Presiden dan Timbalan Presiden parti dan oleh rakyat sebagai ahli Parlimen.

Kalau Perdana Menteri yang juga Presiden Umno menggubal dan melaksanakan dasar yang boleh menjahanamkan bahasa Melayu dan agama Islam, maka dia mesti ditegur dan didisiplinkan oleh parti. Umno perlu mewujudkan mekanisme yang sesuai dan cekap untuk melaksanakan sistem ‘parti mengawal kerajaan’ ini.

Kedua, dasar dan visi Umno hendaklah merentas sempadan kaum, dan tidak dilihat sebagai parti untuk dan bagi pihak orang Melayu sahaja.

Dasar dan visi Umno yang asal, iaitu yang berasaskan perjuangan Alif, Ba, Ta, seperti yang saya sebutkan tadi, tetap dipertahankan tetapi dalam soal untuk memajukan keadaan hidup ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya untuk rakyat, Umno hendaklah memprojekkan dirinya sebagai parti untuk kepentingan semua rakyat tidak kira kaum.

Kita mahu Umno menjadi parti supraetnik, parti nasional, yang adil kepada rakyat tanpa mengira kaum tetapi tetap mempertahankan ‘visi tradisionalnya’: iaitu, mempertahankan tanah air (negara ini) daripada penjajahan politik, ekonomi, ideologi dan budaya orang asing atau kuasa asing, mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara yang faedahnya ialah untuk negara, bukan untuk mana-mana kaum, dan mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan.
Dasar dan perjuangan parti UMNO ini tidak menjejaskan hak dan kepentingan kaum lain.

Imej Umno selama beberapa tahun ke belakangan ini dapat kita bahagikan kepada tiga jenis: Pertama, imejnya kepada orang Melayu ialah: Umno tidak lagi memperjuangkan hak-hak yang menjadi warisan bangsa Melayu sejak dahulu kala.

Umno dilihat sebagai parti yang tidak lagi mempedulikan bahasa Melayu, budaya Melayu dan ekonomi rakyat Melayu yang miskin.
Ini memarahkan orang Melayu. Di samping ini orang Melayu juga mula risau dan khuatir melihat kurangnya komitmen Umno untuk mempertahankan martabat dan kedaulatan institusi Raja-raja Melayu. Institusi Raja-raja Melayu ialah institusi yang tertua di Tanah Melayu dengan usianya melebihi 700 tahun dan institusi inilah yang menjadi salah satu penyelamat tamadun Melayu walaupun kita dicabar oleh tiga kuasa Barat, iaitu Portugis, Belanda dan British.

Negeri Melayu dan kedaulatan Melayu kekal sampai sekarang kerana adanya institusi ini sebagai penyelamat bangsa. Imej kedua ialah imej UMNO di mata orang bukan Melayu, iaitu: mereka menganggap Umno ialah parti untuk kepentingan orang Melayu, tidak untuk kepentingan kaum lain; Umno dianggotai oleh orang Melayu yang ‘fanatik Melayu’, suka menjulang keris apabila memarahkan kaum lain, entah apalah sebabnya.

Imej Umno yang ketiga ialah imejnya sebagai parti yang menggalakkan rasuah politik atau parti ‘orang kaya’ di atas dan parti orang miskin di bawah, parti yang korup, parti yang berkeliaran dengan buaya-buaya darat dan yu-yu laut yang tidak segan silu menyapu dan menelan segala projek dan kontrak kerajaan dan hak rakyat miskin tidak kira kaum.

Imej ini dibenci oleh semua kaum, tidak sahaja orang Melayu tetapi juga oleh kaum bukan Melayu.

Umno mesti mengubah atau kalau perlu membersihkan ketiga-tiga imej yang buruk itu. Umno mesti dipercayai bukan sahaja oleh orang Melayu tetapi juga oleh orang bukan Melayu.

Dalam pilihanraya umum ke-12, kita lihat ada orang dari kaum India dan kaum Cina, misalnya, mengibarkan dan menjunjung bendera PAS, dan mereka mengundi calon PAS di kawasan kuat Umno. Mengapa?

Apakah kerana mereka sudah dipukau atau diislamkan oleh orang PAS? Tidak.

Mereka berbuat demikian kerana mereka percaya bahawa PAS, berdasarkan prinsip Islam, lebih adil daripada Umno terhadap kaum bukan Islam.

Mereka berkata orang PAS takut kepada Tuhan; jadi mereka takut hendak bercakap bohong atau melakukan dosa kepada makhluk Allah, tidak kira bangsa dan agama. Mereka berkata, Tok Guru Nik Aziz jauh lebih baik, bersih dan amanah daripada kebanyakan pemimpin Umno Kelantan.

Inilah cabaran yang dihadapi oleh Umno hari ini. Umno terpaksa menjadi parti yang boleh dipercayai oleh semua kaum.

Umno terpaksa menyaingi parti baru seperti PKR yang dilihat oleh semua kaum – termasuk orang Melayu generasi baru – sebagai parti yang dasarnya ialah keadilan kepada semua rakyat berdasarkan keadaan dan keperluan asas mereka.

Thursday, April 3, 2008

Wednesday, April 2, 2008

Tiga orang kuat PM umpama sokong membawa rebah

Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi berdepan dengan cabaran kepimpinannya justeru partinya gagal mengulangi majoriti dua pertiga di Parlimen; gagal merampas Kelantan dari PAS, hilang empat lagi kerajaan negeri dan dua calon Menteri Besar ditolak oleh istana; beliau tidak mendapat sokongan membina dari orang-orang bawahnya.

Ada orang-orang yang mendakwa menyokongnya, tetapi dalam tindakannya lebih bersifat menyokong membawa rebah. Sekurang-kurangnya tiga orang kononnya mahu mempertahankan pimpinan Perdana Menteri, tetapi telah meletakkan Perdana Menteri dalam keadaan yang memalukan.

Pertama, secara jujur dan berani Dato' Mukhriz, Exco Pemuda Umno dan anggota Parlimen Jerlun menulis surat meminta Dato' Seri Abdullah berundur dari Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Baik atau buruk cadangan anak Dr. Mahathir itu boleh dibincang oleh partinya. Entah atas nasihat siapa, maka Perdana Menteri minta Pemuda Umno memecat Dato' Mukhriz.

Sepatutnya Perdana Menteri mengelak dari memberi reaksi yang demikian. Cadangan Mukhriz itu ditujukan kepada Perdana Menteri, maka memberikan jawapan menjelaskan mengapa beliau tidak wajar meletakkan jawatan atau menerima cadangan Mukhriz itu.

Tetapi dengan reaksinya minta supaya Mukhriz dipecat, mendedahkan diri Perdana Menteri kepada andaian-andaian yang boleh melemahkan dirinya lagi. Ia seolah-olah beliau tidak bersedia mendengar teguran atau tidak boleh ditegur. Teguran seperti itu dibalas dengan ugutan untuk memecatnya.

Surat Mukhriz itu tidak sekuat kesan surat ayahnya menyuruh Tunku Abdul Rahman Putra bersara dari jawatannya dulu. Abdullah sepatutnya belajar dari kejadian tahun 1970 itu. Dr. Mahathir dipecat seperti yang dikehendaki oleh Tunku, tetapi selepas Tunku bersara Umno menerimanya semula dan akhirnya menjadi Presiden Umno.

Perdana Menteri sepatutnya menyerahkan perkara itu kepada parti dan orang ramai. Patut surat Mukhriz itu dilayan atau tidak?

Apa yang lebih memalukan, Pemuda Umno membuat keputusan tidak memecat Dato' Mukhriz.

Tidak terdapat keterangan Perdana Menteri mengubah fikirannya sebelum reaksi Pemuda Umno itu. Justeru tiada tanda perubahan fikiran Perdana Menteri, maka Pemuda Umno telah bertindak mengenepikan kemahuan Perdana Menteri.

Tidakkah ini memalukan Perdana Menteri kerana kemahuannya tidak didengar oleh sayap pemuda partinya?

Pemuda Umno mungkin bertindak betul. Akan ada padahnya jika kemahuan Perdana Menteri itu didengar. Pemuda wajar menimbangkan buruk baik kemahuan Perdana Menteri itu. Pemuda mesti memberikan nasihat yang terbaik kepada Perdana Menteri. Mungkin betul keputusan Pemuda itu.

Tetapi menolak kemahuan Perdana Menteri seperti mempertikai kebijaksanaan dan pimpinan Perdana Menteri. Ia boleh menjelaskan lagi wibawa Perdana Menteri yang disuruh berhenti oleh Mukhriz itu.

Kedua, dalam isu Dato' Ahmad Said diperkenan oleh istana, Setiausaha Agung Umno yang baru, Dato' Tengku Adnan Mansor mengeluarkan kenyataan bahawa Dato' Ahmad akan dikenakan tindakan disiplin jika dia menerima perkenan istana itu.

Presiden Umno telah mentauliahkan Menteri Besar Terengganu itu ialah Dato' Seri Idris Jusoh juga, maka tidak boleh Adun Umno yang lain menyanggupi perlantikan istana, kerana ia berlawanan dengan kemahuan Umno.

Maka Dato' Ahmad akan dipecat. Sesiapa yang menyokong orang yang dipecat akan dipecat juga.

Dengan amaran Tengku Adnan itu, semua orang Umno tidak berani ke depan untuk menyokong perlantikan Menteri Besar baru itu.

Kenyataan Tengku Adnan itu menjadikan Perdana Menteri malu sekali lagi. Ia meletakkan Perdana Menteri sudah menentang keputusan Raja. Dalam apa keadaan, Perdana Menteri tidak boleh dilihat berterangan bercanggah dengan sebarang keputusan Raja.

Perdana Menteri adalah penasihat pertama Raja. Semua nasihat itu dibuat secara sulit. Tidak boleh terdedah kepada umum.

Dengan Perdana Menteri membiarkan kenyataan Setiausaha Agung Umno tanpa sebarang penjelasan, Perdana Menteri membenarkan dirinya berada dalam keadaan berlawanan dengan peranan Raja.

Kenyataan Setiausaha Agung Umno itu telah menyusahkan Perdana Menteri, tetapi Perdana Menteri tidak berbuat apa-apa untuk menyanggah Setiausaha Agung yang baru dilantik itu.

Dengan ini Tengku Adnan telah melemahkan lagi wibawa Perdana Menteri yang sudah dilihat lemah itu. Tengku Adnan sepatutnya meringankan masalah Perdana Menteri, tetapi kedatangannya meruntuhkan lagi imejnya.

Dan akhirnya Perdana Menteri menerima juga perlantikan Dato' Ahmad sebagai Menteri Besar Terangganu.

Amaran Tengku Adnan telah dilihat sebagai amaran yang tidak berguna. Kerja pertama Tengku Adnan merosakkan terus ketuanya. Ini bererti sokongan Tengku Adnan kepada ketuanya seperti sokong membawa rebah.

Ketiga, Tan Sri Muhamad Mohd. Taib, sebagai Ketua Penerangan Umno mencadangkan supaya pimilihan pimpinan Umno tahun ini ditunda lagi kononnya bagi mengelakkan ketegangan terus dalam Umno.

Pemilihan itu adalah proses demokrasi yang amat penting bagi parti itu. Ia sudah ditunda. Kejadian itu adalah bukti Umno lari dari masalahnya. Parti itu memang berkecamuk setiap kali ada pemilihan. Kerana mengelakkan kecamuk, agenda parti yang penting itu cuba ditunda dan ditunda.

Ia boleh menjadi Umno parti yang paling banyak mengelakkan pertandingan semasa pimpinan Datuk Seri Abdullah.

Sepatutnya Umno menunjukkan ketelusannya. Memberi kepada parti menentukan pimpinan dan masa depannya. Kerana ada masalah Muhamad Mohd Taib mahu Abdullah jadi ketua Umno yang tidak mengadakan pemilihan parti. Ertinya biar tidak pemilihan kalau boleh. Biar dia kekal selama-lamanya. Muhammad Mohd Taib tidak membantu pemimpinnya menjadi seorang tokoh demokratik yang terbuka untuk dinilai ahli-ahlinya. Dia juga boleh merosakkan ketuanya

Tuesday, April 1, 2008