Wednesday, April 2, 2008

Tiga orang kuat PM umpama sokong membawa rebah

Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi berdepan dengan cabaran kepimpinannya justeru partinya gagal mengulangi majoriti dua pertiga di Parlimen; gagal merampas Kelantan dari PAS, hilang empat lagi kerajaan negeri dan dua calon Menteri Besar ditolak oleh istana; beliau tidak mendapat sokongan membina dari orang-orang bawahnya.

Ada orang-orang yang mendakwa menyokongnya, tetapi dalam tindakannya lebih bersifat menyokong membawa rebah. Sekurang-kurangnya tiga orang kononnya mahu mempertahankan pimpinan Perdana Menteri, tetapi telah meletakkan Perdana Menteri dalam keadaan yang memalukan.

Pertama, secara jujur dan berani Dato' Mukhriz, Exco Pemuda Umno dan anggota Parlimen Jerlun menulis surat meminta Dato' Seri Abdullah berundur dari Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Baik atau buruk cadangan anak Dr. Mahathir itu boleh dibincang oleh partinya. Entah atas nasihat siapa, maka Perdana Menteri minta Pemuda Umno memecat Dato' Mukhriz.

Sepatutnya Perdana Menteri mengelak dari memberi reaksi yang demikian. Cadangan Mukhriz itu ditujukan kepada Perdana Menteri, maka memberikan jawapan menjelaskan mengapa beliau tidak wajar meletakkan jawatan atau menerima cadangan Mukhriz itu.

Tetapi dengan reaksinya minta supaya Mukhriz dipecat, mendedahkan diri Perdana Menteri kepada andaian-andaian yang boleh melemahkan dirinya lagi. Ia seolah-olah beliau tidak bersedia mendengar teguran atau tidak boleh ditegur. Teguran seperti itu dibalas dengan ugutan untuk memecatnya.

Surat Mukhriz itu tidak sekuat kesan surat ayahnya menyuruh Tunku Abdul Rahman Putra bersara dari jawatannya dulu. Abdullah sepatutnya belajar dari kejadian tahun 1970 itu. Dr. Mahathir dipecat seperti yang dikehendaki oleh Tunku, tetapi selepas Tunku bersara Umno menerimanya semula dan akhirnya menjadi Presiden Umno.

Perdana Menteri sepatutnya menyerahkan perkara itu kepada parti dan orang ramai. Patut surat Mukhriz itu dilayan atau tidak?

Apa yang lebih memalukan, Pemuda Umno membuat keputusan tidak memecat Dato' Mukhriz.

Tidak terdapat keterangan Perdana Menteri mengubah fikirannya sebelum reaksi Pemuda Umno itu. Justeru tiada tanda perubahan fikiran Perdana Menteri, maka Pemuda Umno telah bertindak mengenepikan kemahuan Perdana Menteri.

Tidakkah ini memalukan Perdana Menteri kerana kemahuannya tidak didengar oleh sayap pemuda partinya?

Pemuda Umno mungkin bertindak betul. Akan ada padahnya jika kemahuan Perdana Menteri itu didengar. Pemuda wajar menimbangkan buruk baik kemahuan Perdana Menteri itu. Pemuda mesti memberikan nasihat yang terbaik kepada Perdana Menteri. Mungkin betul keputusan Pemuda itu.

Tetapi menolak kemahuan Perdana Menteri seperti mempertikai kebijaksanaan dan pimpinan Perdana Menteri. Ia boleh menjelaskan lagi wibawa Perdana Menteri yang disuruh berhenti oleh Mukhriz itu.

Kedua, dalam isu Dato' Ahmad Said diperkenan oleh istana, Setiausaha Agung Umno yang baru, Dato' Tengku Adnan Mansor mengeluarkan kenyataan bahawa Dato' Ahmad akan dikenakan tindakan disiplin jika dia menerima perkenan istana itu.

Presiden Umno telah mentauliahkan Menteri Besar Terengganu itu ialah Dato' Seri Idris Jusoh juga, maka tidak boleh Adun Umno yang lain menyanggupi perlantikan istana, kerana ia berlawanan dengan kemahuan Umno.

Maka Dato' Ahmad akan dipecat. Sesiapa yang menyokong orang yang dipecat akan dipecat juga.

Dengan amaran Tengku Adnan itu, semua orang Umno tidak berani ke depan untuk menyokong perlantikan Menteri Besar baru itu.

Kenyataan Tengku Adnan itu menjadikan Perdana Menteri malu sekali lagi. Ia meletakkan Perdana Menteri sudah menentang keputusan Raja. Dalam apa keadaan, Perdana Menteri tidak boleh dilihat berterangan bercanggah dengan sebarang keputusan Raja.

Perdana Menteri adalah penasihat pertama Raja. Semua nasihat itu dibuat secara sulit. Tidak boleh terdedah kepada umum.

Dengan Perdana Menteri membiarkan kenyataan Setiausaha Agung Umno tanpa sebarang penjelasan, Perdana Menteri membenarkan dirinya berada dalam keadaan berlawanan dengan peranan Raja.

Kenyataan Setiausaha Agung Umno itu telah menyusahkan Perdana Menteri, tetapi Perdana Menteri tidak berbuat apa-apa untuk menyanggah Setiausaha Agung yang baru dilantik itu.

Dengan ini Tengku Adnan telah melemahkan lagi wibawa Perdana Menteri yang sudah dilihat lemah itu. Tengku Adnan sepatutnya meringankan masalah Perdana Menteri, tetapi kedatangannya meruntuhkan lagi imejnya.

Dan akhirnya Perdana Menteri menerima juga perlantikan Dato' Ahmad sebagai Menteri Besar Terangganu.

Amaran Tengku Adnan telah dilihat sebagai amaran yang tidak berguna. Kerja pertama Tengku Adnan merosakkan terus ketuanya. Ini bererti sokongan Tengku Adnan kepada ketuanya seperti sokong membawa rebah.

Ketiga, Tan Sri Muhamad Mohd. Taib, sebagai Ketua Penerangan Umno mencadangkan supaya pimilihan pimpinan Umno tahun ini ditunda lagi kononnya bagi mengelakkan ketegangan terus dalam Umno.

Pemilihan itu adalah proses demokrasi yang amat penting bagi parti itu. Ia sudah ditunda. Kejadian itu adalah bukti Umno lari dari masalahnya. Parti itu memang berkecamuk setiap kali ada pemilihan. Kerana mengelakkan kecamuk, agenda parti yang penting itu cuba ditunda dan ditunda.

Ia boleh menjadi Umno parti yang paling banyak mengelakkan pertandingan semasa pimpinan Datuk Seri Abdullah.

Sepatutnya Umno menunjukkan ketelusannya. Memberi kepada parti menentukan pimpinan dan masa depannya. Kerana ada masalah Muhamad Mohd Taib mahu Abdullah jadi ketua Umno yang tidak mengadakan pemilihan parti. Ertinya biar tidak pemilihan kalau boleh. Biar dia kekal selama-lamanya. Muhammad Mohd Taib tidak membantu pemimpinnya menjadi seorang tokoh demokratik yang terbuka untuk dinilai ahli-ahlinya. Dia juga boleh merosakkan ketuanya

No comments: