Monday, March 15, 2010

Hargai pendirian Ku Li

Pendirian anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa beliau akan terus berjuang dan kekal dalam UMNO harus dihargai.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, pendirian begitulah sebaik-baiknya dimaktubkan oleh semua pemimpin khususnya para pemimpin yang sudah berpengalaman dan yang pernah menjawat jawatan tinggi dalam parti.
"Saya percaya pendirian Tengku Razaleigh sedemikian akan menyakinkan bahawa proses demokrasi itu masih boleh bertahan, sekali pun seseorang itu mempunyai pendirian agak berbeza dalam beberapa isu," katanya kepada pemberita selepas majlis Malam Mesra Juara 1Malaysia Bersama Pemimpin di Simpang Durian dekat sini, malam tadi.
Turut hadir pada majlis itu ialah Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Razak Mansor, dua anggota Exco kerajaan negeri iaitu Datuk Yunus Rahmat dan Datuk Siow Chen Pin serta anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Lui, Datuk Zainal Abidin Ahmad.
Rais yang juga anggota Parlimen Jelebu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Tengku Razaleigh semalam bahawa beliau akan kekal dalam UMNO sepanjang hayatnya dan menafikan beliau akan melompat ke parti lain.
"Jadi, yang penting kini ialah walaupun pandangan Tengku Razaleigh itu sedemikian, perlu anggota parti memahami bahawa sebahagian daripada syarat untuk menjayakan negara ialah perpaduan yang utuh dan Tengku Razaleigh sendiri saya percaya yakin di atas prinsip ini walaupun tempoh hari beliau telah membuat kenyataan yang berbeza daripada pendirian asalnya berkaitan dengan tuntutan wang ihsan yang ditujukan kepada negeri Kelantan sendiri.
"Jadi sekarang beliau menyatakan untuk terus berjuang dan kekal dalam UMNO. Alhamdulillah ini harus dihargai dan kita pohon Tengku Razaleigh tidak lagi membuat kenyataan yang merumitkan perjuangan kita sebab di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kita mempunyai masa yang panjang untuk melunaskan perjuangan itu kepada hakikat," katanya.
Ketika berucap pada majlis itu Rais meminta rakyat pelbagai kaum supaya terus berusaha untuk memperkukuhkan lagi hubungan antara kaum di negara ini.
"Masyarakat kita yang terdiri daripada pelbagai kaum mesti bersatu untuk memastikan negara ini berada dalam keadaan aman damai dan harmoni. Untuk itu kita perlu bekerjasama dan saling hormat menghormati untuk meneruskan perjuangan 1Malaysia," katanya.
Pada majlis itu Rais mengagihkan peruntukan berjumlah RM61,800 kepada 10 badan bukan kerajaan (NGO) di kawasan Parlimen Jelebu.
Beliau turut mengagih-agihkan 18 buah komputer kepada Jawankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), sekolah, balai polis serta Pejabat Daerah dan Tanah Jelebu. - BERNAMA

No comments: