Wednesday, January 19, 2011

Bahrul Mazi Susunan Al-Marbawi

PENGENALAN PENGARANG

Beliau ialah Mohd Idris bin Abd Rauf al-Marbawi[1]. Dilahirkan di Makkah al-Mukarramah pada 28 Zulkaedah 1313H bersamaan 1893 M. Pada tahun 1903, beliau dan keluarganya pulang ke tanah air bersama keluarganya.[2]

Beliau seterusnya mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Lubuk Merbau, Perak. Seterusnya menyambung pelajaran ke Sekolah Pondok Syeikh Wan Muhammad di Bukit Chandan Kuala Kangsar Perak, Pondok Tuan Hussain al-Mas’udi Kedah, Pondok Syeikh Ahmad Fatani di Bukit Mertajam dan seterusnya Pondok Tok Kenali di Kelantan. Kesungguhannya menuntut ilmu terbukti apabila ketika masih berada di Mekah iaitu ketika usianya menjangkau 10 tahun, beliau telah menghafal 10 juzuk al-Quran di samping beberapa kitab lain.[3]

Setelah memperolehi pelbagai ilmu pengetahuan di merata-rata tempat, Syeikh Mohd Idris al-Marbawi mula bertugas sebagai guru agama di negeri Perak. Namun begitu kecintaan yang sangat mendalam pada ilmu pengetahuan yang ada pada diri beliau telah membawanya ke Universiti al-Azhar untuk menyambung pengajian dan akhirnya pada 1924 beliau telah memperolehi ijazah ‘aliyah daripada universiti berkenaan.[4]

Di antara karya-karya beliau yang digunakan sehingga ke hari ini ialah Kamus al-Marbawi yang diterbitkan pada tahun 1920-an. Selain dari, kitab Bahrul Mazi yang akan dibincangkan di dalam penulisan ini juga merupakan kitab rujukan masyarakat Melayu sehingga ke hari ini. Karya-karya beliau yang lain ialah Tafsir Quran Nurul Yaqin, Tafsir Surah Yasin[5], Nizam Hayah, Mu’jam al-Ka’inat (4 jilid) dan lain-lain.

Beliau juga pernah dianugrahkan ijazah kehormat Doktor Persuratan oleh UKM pada 5 Julai 1980. Ia disampaikan oleh Naib Canselor UKM ketika umur beliau 87 tahun.[6] Seterusnya pada 1 Muharram 1408H bersamaan 1987M, beliau telah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan yang pertama. Pada tahun yang sama beliau akhirnya meninggal dunia dengan meninggalkan jasa yang cukup besar kepada ummah ini.

PENGENALAN KITAB BAHRUL MAZI

Kitab yang menjadi kajian penulis ialah kitab MUKHTASAR SAHIH AL-TURMUDZI WA SYARHUHU BI LUGHAH AL-JAWI AL-MALAYU AL-MUSAMMA BAHRUL MAZI atau di dalam bahasa Melayunya Ringkasan Sahih Tarmizi dan Huraiannya di Dalam Bahasa Melayu Jawi Yang Dinamakan Bahrul Mazi. Di dalam alam Melayu, ia hanya dikenali sebagai Bahrul Mazi. Uniknya, kitab yang berbahasa Melayu ini dicetak dan diterbitkan di Mesir, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum dan sesudahnya. Kitab ini adalah terjemahan dan ulasan lengkap sesudah diringkaskan daripada Sahih al-Tirmizi. Ia merupakan karya yang pertama sekali di dalam bahasa Melayu yang seumpama dengannya.

Kitab ini mengandungi 22 jilid (11 buah buku) dan kitab ini sudah diterbitkan. Ia mengandungi 8200 permasalahan agama yang berkaitan dengan hal ehwal dunia dan akhirat. Kesungguhan, minat dan kecintaan penulisnya untuk menyempurnakan kitab ini dapat dilihat daripada muqaddimah kitab yang telah beliau tulis sebelum memulakan penulisan, antaranya beliau menyatakan :

“Adalah daripasa sudah aku mengaji kitab yang bernama Sahih al-Turmudzi, sudahlah jatuh dalam hatiku berahi dan suka kepadanya oleh aturannya dan kenyataan pada segala hukum syariat Nabi kita Muhammad SAW..”[7]

METOD PENULISAN

Syeikh Idris al-Marbawi mendahului tulisannya dengan menggarap sebuah mukaddimah yang agak ringkas. Ia didahuli dengan puji-pujian kepada Allah SWT serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan seterusnya menyatakan minat beliau yang amat mendalam terhadap isi kandungan Sahih Tirmizi. Beliau juga menegaskan bahawa tujuan kitab ini dikarang adalah ikhlas semata-mata kerana Allah SWT untuk meninggikan kalimah Allah serta menyebarkan hadis-hadis nabi kepada masyarakat yang tidak memahami bahasa Arab.

Kitab ini ditulis menggunakan kaedah penulisan jawi lama yang mengandungi 3,016 hadith serta menghuraikan 8200 permasalahan yang berlainan hukum hakam yang berkaitan dengan hidup manusia di dunia dan akhirat. Ia dimulakan engan hadith niat yang membawa 30 masalah-masalah berkaitan dengan niat.

Di dalam persoalan sanad, beliau hanya meletakkan seorang sahaja perawi (rawi a’la) sebelum menyatakan nama hadith. Seterusnya beliau menyatakan makna hadith di bawah matan hadith. Ia diikuti dengan huraian hadith dan juga pandangan-pandangan hukum menurut mazhab Syafie di samping menjaga maksud yang ingin disampaikan oleh Imam Tirmizi selaku penulis asal.

Di dalam menghuraikan permasalahan yang terdapat di dalam hadith, beliau tidak lupa untuk membawa pandangan-pandangan ulama lain yang berbeza dengan diletakkan pandangan mazhab Syafie sebagai keutamaan. Sekiranya terdapat masalah yang berkaitan antara satu sama lain, beliau akan meminta pembaca merujuk semula kepada masalah-masalah yang lalu dengan katanya, “lihat masalah nombor sekian…”

Di dalam menjelaskan status hadith, al-Marbawi tidak mengulangi penegasan yang dibuat oleh Imam Tirmizi di mana Imam Tirmizi sering memberikan komentar terhadap status mana-mana hadis yang ditulis di dalam sahihnya. Dengan kata lain, penulisan Bahrul Mazi tidak memasukkan komen Imam Tirmizi terhadap satu-satu hadis. Namun, al-Marbawi mengingatkan pembaca berhatihati dari sebarang penyelwengan kerana beliau tidak mengulangi komentar yang dibuat oleh Imam Tirmizi. Oleh kerana itu, beliau turut menulis sedikit mengenai maksud sahih, hasan dan gharib di dalam ilmu hadis selepas muqaddimah kitabnya.

ISI KANDUNGAN

Isi kandungan kitab ini merangkumi beratus-ratus tajuk yang melibatkan urusan ibadah secara praktikal di dalam kehidupan seorang muslim. Ia boleh dilihat melalui jadual berikut :

Jilid

Jumlah Halaman

Tajuk

Bilangan Hadis

Bilangan masalah

1

227

Menerangkan bicara bersuci dan barang yang takluk dengannya.

126

591

2

232

Menerangkan bicara sembahyang dan barang yang takluk dengannya.

138

454

3

240

Menerangkan bicara sembahyang dan barang yang takluk dengannya.

161

558

4

232

Menerangkan bicara sembahyang, zakat dan barang yang takluk dengannya.

115

519

5

208

Menerangkan bicara puasa dan barang yang takluk dengannya.

110

473

6

224

Menerangkan bicara haji dan barang yang takluk dengannya.

108

458

7

224

Menerangkan bicara umrah dan jenayah dan barang yang takluk dengannya.

114

483

8

224

Menerangkan baki-baki bab jenayah dan membicarakan kitab Nikah

99

330

9

224

Menerangkan bab-bab talak, lia’an dan jual beli.

117

226

10

228

Menerangkan baki-baki bab jualan, bab qadhi, diat dan barang yang takluk dengannya.

180

259

11

224

Menerangkan bicara korban, nazar-nazar, sumpah-sumpah, perjalanan nabi dan barang yang takluk dengannya.

151

486

12

232

Menerangkan bicara perang sabil, pakaian, makanan dan barang yang takluk dengannya.

170

353

13

224

Menerangkan minm-minum, kebaktian, perhubungan rahim dan barang yang takluk dengannya.

152

472

14

224

Melengkapi atas bab-bab perhubungan rahim, perubatan, faraid, wala’, hibab, qadar dan barang yang takluk dengannya.

138

395

15

248

Melengkapi bab huru-hara, ta’bir mimpi dan saksi-saksi.

105

301

16

Melengkapi atas bab-bab mimpi, saksi-saksi dan zuhud.

128

237

17

232

Melengkapi atas bab-bab sifat syurga, neraka, iman dan barang yang takluk dengannya.

109

210

20

Melengkali atas saki-baki bab-bab adab, misal-misal, bab-bab pahala al-Quran dan barang yang takluk dengannya.

127

311

21

255

Melengkapi atas segala bab tafsir

92

335

22

242

Melengkapi atas tafsri setengah-setengah ayat di dalam surah al-Maidah dan lainnya.

95

351

KESIMPULAN

Secara umumnya, kitab ini merupakan kitab yang mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri kerana merupakan kitab pertama di dalam bahasa Melayu yang membicarakan isu-isu fiqh yang disandarkan kepada hadis. Lebih dari itu, ia merupakan satu pencapaian yang cukup membanggakan bagi seorang anak Melayu dapat menghasilkan karya seperti ini. Sehingga ke hari ini, ia masih relevan untuk dijadikan bahan pengajian dan juga teks kajian oleh masyarakat awam dan juga para pengkaji.

BIBLIOGRAFI

Haji Wan Mohd Saghir bin Abdullah (2000), Warisan Pemikiran Islam Ulama Asia Tenggara, Kuala Lumpur : Khazanah Fathaniyyah

Hashim Abdullah, Mohd Arif Ismail, Mohd Nazri ibrahim, Mohd Zulkifli Husain, Kamariah Kamaruddin, Noraina Norani, Rohana Omar (1998), Perspektif Islam di Malaysia, Selangor : Hizbi Sdn. Bhd.

Ismail Che Daud (1996) Tokoh-tokoh Ulama Semenanjung Melayu, Kota Bharu : Percetakan Zulrahin Sdn. Bhd.

Jurnal Usuluddin Bil. 7 (1997) dalam Karya-karya Hadith Dalam Tulisan Jawi, Fauzi bin Deraman, Universiti Malaya, Kuala Lumpur

Kamarul Bakri bin Abdul Aziz (1999), Konsep Ilmu Tauhid Dalam Kitab Jawi, Disertasi Sarjana. Jabtatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Kumpur.

Muhammad Idris Abd Rauf al-Marbawi al-Azhari (1933), Mukhtasar Sahih Al-Turmudzi Wa Syarhuhu Bi Lughah Al-Jawi Al-Malayu Al-Musammas Bahrul Mazi, Matba’ah Mustafa Halabi wa Auladuh, Kaherah, Mesir

M.M Azami (1988), Pengkajian Hadith Kaedah dan Persuratan, Kuala Lumpur : Pustaka Salam.

Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Hassan (1977) Sejarah Perkembangan Ulama Kelantan, Kota Bharu : Pakatan Keluarga Tuan Tabal

Persatuan Sejarah Malaysia (t.t), Islam di Malaysia, dalam Nota Ringkas Mengenai Islam di Alam Melayu, Selangor : United Selangor Sdn. Bhd.

Professor Dato’ Dr. Abu Hassan bin Mohd Sham (2004) Ulama Nusantara : Antara Penghasilan Karya Kreatif dan Kitab Jawi, Kuala Lumpur : Bahagian Perhubungan Awam UM

Tajuddin Saman, Abd. Manaf Haji Ahmad (2005), Tokoh-tokoh Agama dan Kemerdekaan di Alam Melayu, Kuala Lumpur, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

Yusoff Zaki Yaacob (1984) Masalah Pengasingan Sasterawan Melayu Dari Intelektualisme Islam, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka




[1] Marbawi ialah nisbah kepada tempat pendidikan awal beliau iaitu di Lubuk Merbau.

[2] Tajuddin Saman, Ab Manaf bin Haji Ahmad (2005), Tokoh-tokoh Agama dan Kemerdekaan di Alam Melayu, Kuala Lumpur, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, hal. 62.

[3] Ibid, hal. 63

[4] Hashim Abdullah, Mohd Ariff Ismail, Mohd Nazri Ibrahim, Mohd Zulkifli Husain, Kamariah Kamaruddin, Norainan Norani, Rohana Omar (1998), Perspektif Islam di Malaysia, Selangor : Hizbi Sdn. Bhd. Hal. 3.

[5] Tajuddin Saman, Ab Manaf Haji Ahmad op.cit, hal 64

[6] Ibid, hal 64-65

[7] Muhammad Idris Abd Rauf al-Marbawi al-Azhari (1933), Mukhtasar Sahih Al-Turmudzi Wa Syarhuhu Bi Lughah Al-Jawi Al-Malayu Al-Musammas Bahrul Mazi, Matba’ah Mustafa Halabi wa Auladuh, Kaherah, Mesir, halaman 2

No comments: